Anugerah khusus hargai pengorbanan Adib

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mencadangkan satu anugerah diwujudkan khusus untuk menghargai pengorbanan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia, 17 Disember lalu.

Menurut beliau, Anugerah Adib itu boleh dimulakan sempena Hari Kebangsaan tahun depan sebagai inspirasi kepada rakyat Malaysia.

"Adib bukan saja hero kepada orang Melayu, tetapi hero seluruh rakyat Malaysia. Beliau mesti dihormati sebagai inspirasi untuk membina Malaysia baharu dan bersatu yang menunjukkan kepada dunia kejayaan masyarakat majmuk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, ada pihak yang cuba menggunakan kematian Adib untuk menghasut ketegangan kaum dan agama di negara ini.

"Saya tidak fikir ini yang Adib mahu lihat, kerana beliau mahu mendedikasikan hidupnya untuk pembinaan perpaduan, keharmonian, kejayaan serta kemakmuran pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya," katanya.

Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 20 hari bertarung nyawa.

Allahyarham dipercayai dipukul perusuh ketika menjalankan tugas dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, bulan lalu.

Artikel Berkaitan: