Helang musuh ketat pengendali dron Anih

DRON-1
DRON-1
A
A
A

TEMERLOH - Burung helang antara 'musuh ketat' pengendali dron dan antara cabaran bagi Unit Dron pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) dan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK), Anih Berhad.

Unit yang diwujudkan dua tahun lalu itu diletakkan di bawah Jabatan Pengurusan Aset dan antara usaha Anih Berhad untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.

Juruteknik Kanan, Mohd Hafiz Mohd Khadzi, 32, yang juga pengendali dron mengakui ancaman burung itu boleh menjejaskan tugasannya ketika menerbangkan peralatan itu.

"Kami pernah berdepan insiden kira-kira 20 ekor helang berpusing sekitar plaza tol kerana dron kelihatan seperti burung bila di udara. Nasib baik ketika itu sudah selamat mendarat.

"Sebab itu pengendalian dron tuntut fokus tinggi dan tidak boleh main-main kerana sebarang kesilapan boleh terhempas, rosak," katanya.

DRON-3
DRON-3

Situasi itu menyebabkan dia digelar sombong kerana serius ketika bertugas.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang Mohd Hafiz yang bertugas dengan konsesi terbabit sejak lima tahun lalu untuk memastikan tanggungjawab digalas sebaik mungkin, selain bangga menjadi perintis di unitnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ada beberapa jenis pemantauan dron dilakukan secara berkala selain pemantauan cerun, sungai ketika musim tengkujuh, kerja penambahbaikan, bangunan serta trafik ketika musim cuti perayaan.

"Sebab itu jika ada kegagalan cerun yang kecil kita boleh terus buat penambahbaikan. Ini manfaatnya guna dron boleh kesan lebih awal masalah.

"Dron boleh berada di udara maksimum 20 minit dan boleh terbang dengan ketinggian sehingga 400 kaki," katanya.

Unitnya ada 16 kakitangan dan enam daripadanya pengendali dron manakala selebihnya bertindak sebagai pembantu.

Baginya kepuasan itu hadir apabila hasil pemantauan dron itu dapat diterjemahkan hingga menjadi model 3D dan dapat menjadi rujukan berguna buat unit tersebut.

Rakannya, Muhd Amirul Hakimi Aminuddin, 26, yang bertindak sebagai pembantu berkata, walaupun baru dua tahun bertugas di unit itu, pelbagai pengalaman dan cabaran dihadapi.

Bertugas di Plaza Tol Gombak, Muhd Amirul perlu membantu pengendali dron dan fokus supaya tugasan berjalan lancar.

DRON-2
DRON-2

Mereka buat pemantauan udara di sepanjang 250 kilometer (km) lebuh raya terbabit bermula di Gombak hingga ke Jabor.

Sebelum ini, pemantauan menggunakan helikopter dua kali setahun namun kini tugas itu boleh kerap dilakukan.

Sementara itu, Pengurus Kanan jabatan itu, Rosli Ahmad, 54, berkata, penggunaan dron lebih efisien kerana pemandangannya jelas bagi melihat keadaan 2,058 cerun di sepanjang lebuh raya itu.

Jelasnya, Anih kini menubuhkan empat Unit Dron yang ditempatkan di Plaza Tol Gombak, Tol Karak, Tol Temerloh dan Tol Kuantan dengan tiga dron iaitu DJI Inspire 1 bernilai RM25,000 dan selebihnya, DJI Phantom 4 PRO 4 dengan harga RM12,000 setiap satu.

“Setiap cerun ini, ada jadual yang kita kena pantau. Jadi kalau dulu setiap kali bertugas ada kala mereka kena memanjat, ambil masa. Kini lebih cepat siap dengan bukti seperti gambar dan video.

"Selain pemantauan cerun terutama ketika musim tengkujuh, dron juga digunakan untuk melihat kemungkinan berlaku pencerobohan pagar keselamatan di sepanjang lebuh raya," katanya.

Menurutnya, penggunaan dron berjaya mengelak kejadian lebih buruk.

"Antaranya, kejadian di kilometer 53 di Lentang berhampiran lokasi banjir lumpur November 2015 lalu.

"Kita nampak ada satu macam runtuhan dari atas sampai ke bawah. Hasil pemantauan guna dron, nampak lebih jelas, memang ada runtuhan.

"Nasib baik ada kayu balak yang menahan. Jika tanpa guna dron mungkin situasi itu tidak dapat dikesan," katanya.