[DIKEMASKINI] Najis, hama merpati punca masalah kesihatan murid?

Masalah pencemaran najis burung di SK Tanjung Puteri Resort didakwa sudah berlarutan sejak sekian lama.
Masalah pencemaran najis burung di SK Tanjung Puteri Resort didakwa sudah berlarutan sejak sekian lama.
A
A
A

PASIR GUDANG - Pencemaran najis dan hama burung merpati di bahagian atas siling Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort mungkin menjadi antara faktor masalah gangguan kesihatan murid.

Exco Kesihatan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, perkara itu perlu diatasi segera bagi mengelakkan masalah kesihatan kepada murid.

"Pencemaran bau dari najis ini mungkin antara faktor kita lihat sekolah ini setiap hari ada saja murid menghadapi simptom sesak nafas dan juga muntah-muntah.

"Kita minta pihak Kementerian Pendidikan segera tangani isu ini kerana kita nak pastikan pelajar tidak berdepan masalah kesihatan di sekolah," katanya kepada pemberita selepas melawat tingkat atas sekolah tersebut hari ini.

Dalam lawatannya bersama Exco Pendidikan, Aminolhuda Hassan dan Pengarah Kesihatan, Dr Selahudden Abd Aziz, Mohd Khuzzan sempat meninjau keadaan kelas di tingkat atas yang berbau susulan najis burung yang bersepah di atas lantai.

Keadaan pencemaran najis burung dalam sebuah kelas di tingkat atas SK Tanjung Puteri Resort.
Keadaan pencemaran najis burung dalam sebuah kelas di tingkat atas SK Tanjung Puteri Resort.

Siling di dalam bilik darjah tersebut juga ada yang sudah terbuka dan terdapat juga kesan kotor najis burung.

Difahamkan isu tersebut sudah berlarutan lebih lima tahun, namun tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah kebanjiran burung merpati di kawasan sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Khuzzan memaklumkan beberapa siri insiden pelajar yang dilaporkan menghadapi masalah kesihatan di sekolah terbabit merupakan kes yang berulang.

Beliau turut mengesahkan tingkat atas semua sekolah yang diarahkan tutup akibat pencemaran udara sebelum ini telah dibenarkan dibuka kembali.

"Memang dikosongkan aras tinggi tapi baru beberapa hari ini telah dibuka semula. Sebelum ini memang kita minta pelajar daripada tingkat tiga dan empat turun ke bawah tapi sekarang dah tak ada pencemaran lagi.

"Kalau betul-betul ada (pencemaran) semalam pasti ada kes tapi tidak ada laporan. Semalam pun sudah ada kelas yang dibuka semula di tingkat atas dan ini ikut budi bicara pihak sekolah," katanya.

Mohd Khuzzan (kanan) dan Dr Selahudden (dua, kanan) mendengar penjelasan guru berhubung isu pencemaran najis burung di dalam kelas tingkat atas SK Tanjung Puteri Resort.
Mohd Khuzzan (kanan) dan Dr Selahudden (dua, kanan) mendengar penjelasan guru berhubung isu pencemaran najis burung di dalam kelas tingkat atas SK Tanjung Puteri Resort.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, laluan masuk burung merpati ke bahagian dalam bumbung sekolah itu perlu ditutup segera bagi mengelakkan pencemaran berterusan.

"Perkara ini sudah lama nampaknya, kalau tidak, keadaan (najis) tidak sebegitu banyaknya. Saya difahamkan pihak kementerian telah datang melawat, saya cuma minta tindakan segera daripada pihak berkenaan untuk menutup ruang burung masuk ke dalam bumbung.

"Sebab kesannya kita dapat lihat memang peredaran udara dalam bilik darjah yang ada najis ini tidak sesuai untuk anak-anak terutama yang kecil di bawah 12 tahun," katanya