Lewat lancar logo perkara biasa, kata Dr Mahathir

Logo Tahun Melawat Malaysia 2020.
Logo Tahun Melawat Malaysia 2020.
A
A
A

SEPANG - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kelewatan pelancaran logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang sepatutnya diadakan Mei lalu, namun terpaksa dilanjutkan kepada bulan ini, adalah perkara biasa.

Menurutnya, perkara itu merupakan sesuatu yang sukar untuk dijangka dan bergantung kepada nasib.

"Benda yang semacam (kelewatan pelancaran kempen) ini berlaku selalu (biasa).

"Kita boleh rancang tetapi Tuhan yang menentukan. Kalau nasib tidak baik dapat lambat sikit. Kalau nasib baik lebih awal lagi," katanya pada sidang media selepas Sesi Bergambar di Pesawat Malaysia Airlines Berhad, Malindo Airways, AirAsia dan Firefly di Kompleks Bunga Raya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelewatan Malaysia melancarkan logo Tahun Melawat Malaysia 2020 berbanding negara-negara lain.

Terdahulu, Dr Mahathir Mohamad melancarkan logo kempen Melawat Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Logo yang menampilkan pelbagai ikon negara seperti burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar dan warna-warna bendera Malaysia itu dihasilkan pereka grafik muda, Alfred Phua Hong Fook.

Menurut Dr Mahathir, logo itu merupakan sebahagian daripada usaha pemasaran dan promosi bagi menjayakan kempen tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Secara keseluruhannya (logo kempen) menggambarkan kepelbagaian yang terdapat dalam budaya, warisan, flora dan fauna serta pengalaman yang ditawarkan oleh Malaysia sebagai sebuah destinasi percutian," katanya.