Polis buru pekerja Bangladesh cabul juru X-ray

Mohd Nor Yhazid
A
A

JASIN - Polis sedang memburu seorang lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki mencabul juru X-ray sebuah klinik swasta semasa mengendalikan pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) ke atasnya dalam kejadian di Merlimau, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, suspek berusia 31 tahun itu dipercayai telah melarikan diri daripada asramanya selepas menyedari kesalahan dilakukan.

Menurutnya, Khamis lalu polis menerima laporan daripada mangsa berusia 22 tahun berasal dari Sarawak yang bekerja sebagai juru X-ray di klinik berkenaan mengenai kejadian itu.

"Ketika menjalani pemeriksaan X-ray, suspek didakwa telah menyinggung payudara pengadu dengan tangan kanannya tetapi tidak diendahkan pengadu kerana menyangka ia tidak disengajakan.

"Bagaimanapun setelah selesai pemeriksaan lelaki itu mengulangi perbuatan menyebabkan pengadu marah dan mengarahkannya keluar dari bilik berkenaan.

"Suspek yang enggan mengikut arahan dan menunjuk isyarat senyap dengan jari sebaliknya didakwa terus merapatkan badannya dengan badan pengadu sebelum insiden itu didengari doktor bertugas.

"Pengadu kemudian memberitahu doktor pekerja warga asing itu telah merabanya dan doktor terus mengarahkan semua pesakit dari syarikat sama suspek bekerja keluar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, siasatan dibuat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

"Polis sedang giat mengesan suspek yang dipercayai telah melarikan diri daripada asrama didiaminya untuk siasatan lanjut," katanya.