Cabul: Pengerusi MPKK direman empat hari

Seorang pengerusi MPKK ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes menceroboh rumah dan melakukan cabul, Isnin lalu.
A
A

MELAKA - Seorang pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam daerah Melaka Tengah di sini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes menceroboh rumah dan melakukan cabul terhadap seorang suri rumah berasal dari Indonesia pada Isnin lalu.

Perintah tahanan reman ke atas lelaki berusia 51 tahun itu bermula hari ini sehingga 23 Julai dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Teoh Shu Yee.

Perintah penahanan reman itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan sisatan mengikut Seksyen 354 kerana mencabul kehormatan dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek yang dilakukan semalam.

"Kejadian didakwa berlaku pada jam 1.30 tengahari pada 15 Julai lalu, semasa surirumah tersebut berusia 46 tahun berada di dalam bilik air di rumahnya.

"Pengadu ketika itu dalam keadaan tidak berpakaian kerana baharu selesai mandi dan mahu mengambil tuala di luar bilik air.

"Suspek yang ketika itu sedang berada di luar pintu bilik air bertindak menolak pengadu sehingga ke dinding sambil memegang bahu kiri dan kanan pengadu sebelum melarikan diri setelah menyedari jeritan pengadu didengari anak lelaki pengadu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya manakala mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.