Usah takut kerjasama Pas, UMNO: DHPP

Penyokong Pas yang hadir pada ceramah isu semasa, di sini semalam.
Penyokong Pas yang hadir pada ceramah isu semasa, di sini semalam.
A
A
A

KUALA KRAI - Penyokong Pas tidak perlu takut kerjasama dengan UMNO yang dilihat bakal memberi impak positif kepada kedua-dua parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wakil Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Lau Chin Chua berkata, sebaliknya mereka perlu bangga gabungan parti berstatus pembangkang itu mula digeruni Pakatan Harapan (PH).

"Apabila wujud kerjasama Pas dan UMNO, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa parti Melayu menyertai Bersatu untuk menguatkan parti-parti Melayu.

"Kemudian Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa pelawa Pas sertai mereka untuk kumpul kekuatan bersama BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Ia jelas menunjukkan kerajaan hari ini mulai takut dengan penyatuan Pas dan UMNO yang bakal menggugat kedudukan mereka," katanya ketika berucap pada ceramah isu semasa, di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, krisis dalaman antara beberapa pemimpin dalam PH menambah kebimbangan Tun Mahathir terhadap penyatuan Pas dan UMNO.

"Melihatkan kepada situasi ketika ini (krisis dalam PKR) tidak mustahil PRU akan datang berlaku dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Jika ia berlaku sudah pasti Kelantan bakal menjadi milik kita berdasarkan kepada keputusan PRU14 Kelantan hanya dikuasai dua parti, Pas dan UMNO.

"Malah tidak mustahil kita bakal menawan Putrajaya dengan gabungan ini memandangkan rakyat kecewa dengan kerajaan PH yang tidak dapat menunaikan manifesto yang dijanjikan dalam tempoh 100 hari menjadi kerajaan.

"Malah menteri yang dilantik dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pengalaman dalam pottfolio masing-masing menambah kekecewaan rakyat," katanya.

Berucap pada majlis sama, beliau turut meyakinkan kaum Cina dan India, biarpun kerjasama Pas-UMNO pada asasnya untuk mempertahankan Islam, namun agama dan bangsa lain tidak akan terpinggir.