PKR Perak teguh sokong Anwar

Tinagaran
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak akan terus teguh menyokong kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengerusinya, MA Tinagaran berkata, agenda reformasi yang dibawa Anwar sebelum ini akan diteruskan.

Menurutnya, sokongan terhadap Anwar kekal sejak awal negeri ini terlibat dalam gerakan reformasi selepas insiden pemecatan beliau pada 1998.

"Perak antara negeri terawal yang terlibat dalam gerakan reformasi selepas pemecatan Anwar. Jadi Perak memang telah lama menumpukan kepada gerakan reformasi dan gerakan menyelamatkan Anwar ketika itu berada di dalam penjara.

"Sehingga hari ini, kami masih berpegang teguh pada pendirian kami bahawa Malaysia boleh diselamatkan oleh tokoh reformis seperti Anwar Ibrahim," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai sokongan PKR di peringkat negeri terhadap Anwar selepas terdapat khabar angin mendakwa parti itu semakin berpecah.

Tinagaran yang kini menjalankan tugas-tugas Pengerusi PKR Perak berkata, pihaknya akan terus memberikan sokongan kepada Anwar untuk memimpin parti dan memulihkan negara.

Katanya, biarpun kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan di peringkat awal oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, PKR Perak yakin pemulihan tersebut hanya dapat diselesaikan secara sepenuhnya oleh Anwar yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR retak menanti belah


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia