Pijak anak kucing sampai mati

Paparan klip video insiden tersebut yang dimuat naik di laman Facebook berkenaan.
Paparan klip video insiden tersebut yang dimuat naik di laman Facebook berkenaan.
A
A
A

PUCHONG - Satu klip video berdurasi selama satu minit tular di laman sosial memaparkan seorang kanak-kanak bertindak kejam apabila memijak seekor anak kucing sehingga mati.

Lebih menyedihkan, ibu kepada kanak-kanak terbabit dikatakan hanya melihat perlakuan anaknya itu dan tidak membuat sebarang teguran di atas tindakan kejam tersebut.

Video yang dimuat naik menerusi laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia itu juga telah ditonton oleh 20,000 orang pelayar dan mendapat sehingga 1,083 perkongsian daripada netizen.

Menurut pengendali laman Facebook berkenaan, kejadian tersebut dipercayai berlaku di hadapan sebuah lif di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara.

Difahamkan, penduduk setempat juga telah menasihati ibu kanak-kanak terbabit supaya membuat teguran kepada anaknya ekoran tindakan berkenaan namun tidak dipedulikan dan dibalas dengan maki hamun.

Retetan itu, penduduk setempat yang prihatin dikatakan telah membawa anak kucing berkenaan mendapatkan rawatan di Klinik Veterinar berhampiran namun ia disahkan mati akibat patah tengkuk.

Dalam pada itu, seorang netizen, Zura Zuera berkata, pihak terlibat seharusnya ditangkap di bawah Akta Kebajikan Haiwan bagi menjadi pengajaran kepada semua pihak.

"Didikan bermula dari rumah. Jika jadi begini, salahnya terletak kepada ibu bapa dan keluarga yang gagal memberi pendidikan. Nak kedua-dua ditangkap dibawah Akta Kebajikan Haiwan, tak guna ada akta ini kalau tak boleh kenakan tindakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Vennila Mather turut menzahirkan rasa simpati di atas kejadian tersebut dan meminta orang ramai supaya dapat memberi didikan kepada anak-anak berhubung perkara itu.

"Kesiannya anak kucing ini. Tolong jaga anak dan beri pengajaran tentang haiwan yang juga mempunyai perasaan," tulisnya.