Kertas siasatan rogol amah disemak pendakwaan

Laporan Sinar Harian pada 9 Julai lalu.
A
A

IPOH - Polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang membabitkan seorang Exco Perak ke Ketua Pendakwa Raya negeri untuk dikaji dan disemak.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya hanya menunggu laporan daripada forensik dan perubatan bagi melengkapkan siasatan.

"Kertas siasatan sudah pun dihantar ke Pengarah Pendakwaan negeri untuk disemak dan dikaji. Ada dua tiga perkara yang perlu kita peroleh terutama laporan doktor dan forensik.

"Kita masih lagi menunggu kedua-dua laporan tersebut dan kita dijangka dalam masa terdekat dua tiga minggu untuk dapatkan laporan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak bagi Bulan Julai 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Razarudin (tengah) meraikan penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dengan memotong pulut kuning.
Razarudin (tengah) meraikan penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dengan memotong pulut kuning.

Menurutnya, mangsa yang berusia 23 tahun itu kini selamat di bawah perlindungan Kedutaan Indonesia.

"Kalau ikutkan perbincangan, mangsa akan berada di negara ini sehingga kes berkenaan selesai," katanya.

Dalam pada itu, Razaruddin berkata, bahawa pihaknya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang berhubung penahanan Exco terbabit.

"Kita tidak bias disebabkan beliau adalah Exco dan sebagainya, anggapan itu silap kerana kita berpandukan kepada undang-undang dan SOP.

Razarudin (kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Pemangku Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Anuar Othman.
Razarudin (kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Pemangku Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Anuar Othman.

"Tangkapan akan dilakukan sekiranya suspek akan mengganggu siasatan atau mangsa selain ada kemungkinan akan melarikan diri. Sekiranya tiada lagi siasatan, kita tidak perlu tahan," katanya.

Isnin minggu lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia membuat laporan polis mendakwa dia dirogol majikannya yang juga seorang Exco Kerajaan Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah