Lelaki pedofilia ditangkap polis

Lelaki warga Indonesia ditahan hari ini manakala pakaian dipercayai digunakan ketika kejadian turut dirampas polis.
A
A

RAWANG - Lelaki yang diburu selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun di sebuah kedai di Bandar Country Homes di sini petang Rabu lalu akhirnya ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, lelaki warga Indonesia berusia 45 tahun itu ditahan di kawasan pembinaan berdekatan Bandar Country Homes di sini hari ini.

“Bertindak atas maklumat diterima sepasukan anggota polis berjaya menangkap suspek di kawasan Country Homes. Turut dirampas pakaian digunakan ketika kejadian.

"Siasatan awal dapati suspek positif terlibat dalam kes yang disiasat. Dia bekerja sebagai buruh binaan dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.

Menurutnya, perintah tahanan reman akan dimohon di mahkamah esok untuk disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Terdahulu, perbuatan tidak senonoh suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kedai serbaneka sebelum ia tular di media sosial.

Dalam video berdurasi 51 saat itu, mangsa dirakam berada di rak jualan kedai bersama seorang kanak-kanak perempuan dipercayai adiknya.

Ketika mangsa leka melihat barang di rak jualan, suspek mendekatinya dari arah belakang memeluk dan menggesel bahagian bawahnya dengan punggung kanak-kanak itu sebelum beredar.

Lelaki tidak diketahui identitinya itu kemudian kembali lagi ke rak jualan terbabit dan memeluk mangsa dengan kuat sebelum kedua-dua kanak-kanak itu melarikan diri.

Bapa kanak-kanak terbabit kemudian membuat laporan polis.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia