Majikan dera pekerja asing ditahan

Mangsa ditemui polis dalam keadaan berantai dan mempunyai kesan lebam pada badan.
Mangsa ditemui polis dalam keadaan berantai dan mempunyai kesan lebam pada badan.
A
A
A

KUANTAN - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menahan dua individu iaitu majikan kepada tiga pekerja dari Tamil Nadu yang mendakwa dipaksa menjadi buruh paksa.

Kes berkenaan terbongkar apabila salah seorang daripada pekerja itu melarikan diri dan membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, suspek berusia 32 dan 36 tahun diberkas dalam serbuan oleh pasukan IPD Lipis.

Menurutnya, ketika serbuan suspek telah membawa polis ke belakang kedai makan tersebut untuk melalui sebuah bilik yang tidak berkunci.

"Ketika memasuki bilik tersebut, kita dapati terdapat dua warga India telah dirantai dengan menggunakan mangga dan salah seorang daripada mereka telah didera selama sebulan.

"Terdapat kesan-kesan lebam berada di badan mangsa dan pemeriksaan hospital mendapati salah seorang mereka mengalami patah tangan.

"Suspek warga India kita tahan selepas mangsa dijumpai, manakala seorang lagi suspek tempatan yang merupakan anak kepada pemilik kedai makan itu telah ditahan di Taman Desa Perwira," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mangsa ditempatkan di Rumah Perlindungan Lelaki Tanjung Keling Melaka.
Mangsa ditempatkan di Rumah Perlindungan Lelaki Tanjung Keling Melaka.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kesemua mangsa telah bekerja dengan restoran tersebut sejak Julai lalu dan hanya menerima gaji pada bulan pertama mereka bekerja di negara ini.

Menurutnya, kesemua mangsa termasuk yang telah melarikan diri akan ditempatkan di Rumah Perlindungan Lelaki Tanjung Keling Melaka.

"Majikan berkenaan menganiaya mereka dan tidak membayar gaji berjumlah RM600 dan RM3,000 sebulan seperti dijanjikan.

"Mangsa cuba meminta gajinya daripada suspek yang merupakan anak kepada pemilik kedai makan itu malah dia telah dimarahi malah dipukul dan dikurung.

"Suspek akan direman dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Pemerdagangan Orang 2007 pihak polis," katanya.