Anwar jumpa Kon Yeow bincang projek tambak laut

Anwar mendengar keluhan daripada nelayan yang hadir di majlis perjumpaan hari ini.
Anwar mendengar keluhan daripada nelayan yang hadir di majlis perjumpaan hari ini.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjumpa dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk berbincang dan mendengar penjelasan berkenaan projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR).

Beliau berkata, perjumpaan itu adalah salah satu usaha untuk menyelesaikan masalah nelayan tradisional yang terlibat dengan projek mega bernilai RM46 bilion tersebut.

Menurutnya, perjumpaan itu akan diadakan dalam masa terdekat untuk membolehkan beliau mendapat lebih maklumat dari pihak kerajaan negeri mengenai PSR.

"Saya akan bertanya dengan pihak kerajaan negeri adakah boleh kita menjamin nasib dan kepentingan nelayan. Jika kata boleh, kena pastikan ada jawapan munasabah.

"Saya tahu ini adalah sukar, sebab saya tidak pernah tahu dalam mana-mana projek tambak laut secara besar-besaran di seluruh dunia yang mana nasib nelayan terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penduduk dan Nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu yang dihadiri kira-kira 200 nelayan dan penduduk, di sini hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kehadirannya bukan sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah itu.

Tambahnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kon Yeow telah dimaklumkan tentang kehadirannya hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya hadir hari ini bukan nak halang (projek itu) tetapi untuk mendengar penjelasan dari semua pihak termasuk syarikat pemaju iaitu Konsortium SRS, badan bukan kerajaan (NGO), penduduk dan nelayan.

"Malah saya juga telah membaca memorandum yang diserahkan NGO dan persatuan nelayan di Parlimen beberapa hari lalu. Selain itu, saya juga ada mendengar dari pakar konsultan dan beberapa pihak berkepentingan lain," katanya.

Menurutnya, nelayan dan penduduk terlibat boleh membantah namun dinasihatkan agar memberi ruang untuk membolehkan perbincangan diadakan.

"Walaupun laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah meluluskan projek ini dengan beberapa syarat, tetapi ada beberapa aspek yang perlu dirunding semula. Ini yang dikatakan perlu diberi ruang untuk perbincangan.

"Saya nasihatkan kepada semua pihak termasuk nelayan agar beri ruang untuk kajian dan perbincangan dapat dibuat. Walaupun keputusan (EIA) dah buat, tetapi masih ada masa," katanya.

Kelmarin, satu himpunan Menolak Projek PSR di Pulau Pinang diadakan di sekitar Tugu Negara, Kuala Lumpur yang turut dihadiri Koordinator Forum Pulau Pinang, Khoo Salma Nasution.

Susulan itu, Dr Mahathir dilaporkan akan meneliti memorandum bantahan dibuat kumpulan itu selain kerajaan Pusat juga akan mengambil tindakan sesuai jika dakwaan yang dinyatakan berasas.