FAM, MFL masih bincang

Stuart Ramalingam (dua, kiri) bersalaman dengan Pengarah Kronos Malaysia, Tiew Cheng Chai (tiga, kanan) sewaktu menandatangani dokumen penajaan ketika Majlis Makan Malam Pengadil dan Penilai Pengadil 2018 serta Pelancaran Pakaian dan Penajaan Peralatan Pengadil FAM bagi musim baharu malam semalam. - Foto Bernama
Stuart Ramalingam (dua, kiri) bersalaman dengan Pengarah Kronos Malaysia, Tiew Cheng Chai (tiga, kanan) sewaktu menandatangani dokumen penajaan ketika Majlis Makan Malam Pengadil dan Penilai Pengadil 2018 serta Pelancaran Pakaian dan Penajaan Peralatan Pengadil FAM bagi musim baharu malam semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih mengadakan perbincangan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenai cadangan untuk mewujudkan pengadil profesional dalam Liga Malaysia 2019.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata kedua-dua pihak sudah lama mengadakan perbincangan mengenai perkara berkenaan, dan hasil perbincangan dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Perbincangan dengan MFL masih berlangsung ketika ini dan kita harap dalam tempoh seminggu, dua ini, kita akan dapat capai satu kata putus untuk mewujudkan pengadil profesional bagi 2019.

"Kita tengah berusaha ke arah itu (mewujudkan pengadil profesional), siapa yang layak, kos dan cara pelaksanaannya," katanya ketika ditemui pemberita selepas jamuan malam pengadil dan penilai pengadil tahunan FAM 2018 di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini mencadangkan kepada MFL dan FAM untuk mewujudkan segera pengadil profesional dalam meningkatkan kualiti pengadilan Liga Malaysia yang dikatakan masih berada tahap sederhana.

Dalam perkembangan lain, Stuart memaklumkan pihaknya masih belum memutuskan format dan pasukan yang akan mengambil bahagian dalam saingan Pestabola Merdeka yang dikatakan bakal dianjurkan oleh FAM pada Januari depan.

"Kita tengah meneliti bagaimana pelaksanaan Pestabola Merdeka, tetapi nama pertandingan mungkin berbeza. Adakah kejohanan itu akan diadakan pada Januari atau Mac, kita masih tiada kata putus kerana kita tidak mahu mengganggu persiapan kelab dan pasukan untuk Liga Malaysia 2019.

MFL pada Sabtu telah mengeluarkan kalendar pertandingan Liga Malaysia 2019 dan 2020, dengan menyaksikan saingan Liga Premier dan Liga Super 2019 akan bermula 1 Februari depan.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis yang sama, FAM turut mengikat perjanjian bersama syarikat pengeluar barangan sukan dari Itali, Kronos untuk menaja pakaian kelengkapan pengadil dan penilai pengadil FAM dari 2019-2021. - Bernama