JPN nafi terlibat isu Projek IC 2.0 Sabah

A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan terlibat dengan isu berkaitan Projek IC 2.0 Sabah serta menegaskan bahawa resit yang ditularkan bukan resit rasmi jabatan itu.

JPN dalam satu kenyataan hari ini berkata resit urusan pendaftaran kad pengenalan seperti yang tersebar bukan resit rasmi yang dikeluarkan dan digunakan jabatan itu bagi tujuan pendaftaran.

"Ingin ditegaskan bahawa JPN tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang perseorangan untuk mewakili JPN dalam apa-apa urusan.

"Semua resit rasmi jabatan ini hanya dikeluarkan kepada pelanggan yang mempunyai urusan di kaunter pejabat JPN dan tidak diedarkan kepada orang ramai dengan sewenang-wenangnya,” kata JPN.

JPN berkata pihaknya memandang serius isu yang telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap perkara tersebut.

"Orang ramai diminta tidak mempercayai dan menyebarkan maklumat palsu berkenaan isu ini bagi mengelak sebarang kekeliruan dan gangguan ketenteraman awam,” kata jabatan itu. - Bernama