X

Kindly register in order to view this article
!

Kes Exco Perak: Siasat kemungkinan konspirasi politik

Hui Ying (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Ipoh bersama beberapa pemimpin ADUN DAP.
A
A

IPOH - Pihak polis diminta menyiasat sama ada wujudnya sebarang konspirasi politik terhadap Exco Kerajaan Perak, Paul Yong yang kini disiasat atas tuduhan merogol pembantu rumahnya.

Setiausaha Sulit kepada Exco berkenaan, Teoh Hui Ying berkata, perkara itu dirasakan perlu kerana terdapat seorang ahli politik daripada MCA yang menghubunginya meminta supaya laporan polis dibuat jika pernah berdepan dengan gangguan seksual oleh Exco tersebut.

Katanya, tindakan ahli politik itu dilihat sesuatu yang boleh menimbulkan persoalan sama ada tuduhan tersebut sudah dirancang atau sebaliknya.

"Saya tegas menafikan berlakunya gangguan seksual sepanjang saya bekerja di pejabat Paul Yong. Tindakan ahli politik itu bertanyakan soalan sedemikian amat meragukan.

"Jadi saya minta pihak polis menyiasat perkara ini secara mendalam kerana bimbang wujud konspirasi politik untuk menjatuhkan beliau," katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng; ADUN Keranji, Chong Zhemin dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam.

Hui Ying berkata, panggilan tersebut diterima pada jam 1.29 petang semalam ketika berada di pejabat.

Katanya, disebabkan pertanyaan itu sensitif dan mempunyai unsur-unsur meragukan pihak polis perlu menyiasat di bawah Seksyen 107 dan 108 Kanun Keseksaan kerana bersubahat terhadap sesuatu perkara.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan itu.

Katanya, MCA sedia disiasat pihak polis jika benar dakwaan wujudnya konspirasi tersebut datangnya daripada parti pembangkang.