Siasat tanpa prejudis dakwaan rogol amah: Noraini

Noraini Ahmad
A
A

SHAH ALAM - Wanita UMNO mendesak pihak berwajib supaya segera menyiasat tanpa prejudis dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia melibatkan seorang Exco Perak.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, siasatan yang adil dan telus perlu dilakukan segera memandangkan pengesahan dakwaan tersebut telah dibuat Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily.

“Wanita UMNO mahu kerajaan memastikan tidak berlaku sebarang campur tangan politik terhadap siasatan yang akan dilakukan.

“Walaupun hari ini, kita melihat sistem perundangan negara semakin tidak dihormati terutama apabila berlakunya keputusan-keputusan yang melibatkan individu yang berkaitan dengan kerajaan.

"Namun, wanita UMNO masih percaya pihak berkuasa akan menjalankan tugas mereka dengan telus dan adil tanpa menyembunyikan sebarang fakta,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, sebuah portal berita tempatan melaporkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menegur tindakan polis menangkap Exco Perak berkenaan tanpa menyelesaikan penyiasatannya terlebih dahulu.

Katanya, polis mesti mematuhi prinsip utama undang-undang (yang) mengandaikan (seseorang itu) tidak bersalah sebelum dibuktikan di mahkamah.

Kelmarin, Exco Perak yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu berdepan siasatan kes seksual membabitkan pembantu rumahnya selepas wanita itu membuat laporan polis.

Difahamkan, mangsa yang berusia 20-an itu membuat laporan polis selepas suspek melakukan perbuatan di sebuah kediaman di Meru.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia