Orang asli Gerik serah memorandum, tuntut hak dihormati

Ketua Pengarah JAKOA, Prof Dr Julie Edo menerima memorandum daripada Tok Batin Kampung Leyep, Baha Busu di Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ketua Pengarah JAKOA, Prof Dr Julie Edo menerima memorandum daripada Tok Batin Kampung Leyep, Baha Busu di Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 40 orang asli dari lima buah perkampungan di Gerik dan Sungai Siput, Perak menghantar memorandum menuntut pengiktirafan tanah adat, menghormati adat istiadat mereka dan mengangkat orang asli pada kedudukan yang sewajarnya.

Jurucakap kumpulan itu, Gerik Anjang A/L Aluej berkata, memorandum yang mengandungi tiga perkara utama itu hendak diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Harapan kami agar kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, jabatan daerah tolong hormati hak kami sebagai orang asli dari segi pengiktirafan tanah adat dan hak orang asli.

"Iktiraf dan hormati amalan kepercayaan adat tradisi, hentikan paksaan terhadap ibu-ibu orang asli untuk mengambil ubatan perancangan, hentikan diskriminasi dan penghinaan kepada kami hinggakan telah menjadikan kami tiada keyakinan serta hilang suara untuk mempertahankan hak kami," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sebelum itu, kumpulan ini mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Memorandum berkenaan telah diserahkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli A/L Edo untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, menurut Juli memorandum berkenaan akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri.

"Ini kemahuan sejagat sebenarnya, bukan orang asli sahaja semua masyarakat mahukan perkara yang sama cuma belum dapat iaitu pembangunan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita akan angkat memorandum ini dan hari ini memorandum itu saya akan serah kepada Moorthy sebelum beliau serah kepada PM," katanya kepada Sinar Harian.