Negeri Sembilan setuju kawasan perindustrian dibina jauh

Kok Seong (kiri) semasa meninjau kerja-kerja naik taraf dan sistem pencahayaan di Jalan Haruan Okland Seremban hari ini.
Kok Seong (kiri) semasa meninjau kerja-kerja naik taraf dan sistem pencahayaan di Jalan Haruan Okland Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri menyambut baik cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang meminta supaya kawasan perindustrian perlu dibina jauh daripada kawasan perumahan.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong berkata, cadangan tersebut perlu dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk setempat tidak terancam dengan kes-kes yang tidak sepatutnya seperti pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang, Johor.

Katanya, di Negeri Sembilan, rakyat tidak perlu bimbang kerana kawasan perindustrian kilang sememangnya sudah dibina jauh daripada kawasan perumahan.

Bagaimana pun katanya, beliau telah meminta semua jabatan terlibat termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan kilang terutamanya mereka yang menghasilkan sisa bahan kimia, beroperasi mengikut standard yang ditetapkan.

Kok Seong pada sidang media hari ini.
Kok Seong pada sidang media hari ini.

“Keutamaan keselamatan dan kesihatan rakyat adalah perkara yang perlu diutamakan, kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan pencemaran.

“Tindakan tegas termasuk penguatkuasaan undang-undang akan dikenakan jika mereka gagal menguruskan sisa buangan kilang mereka dengan sempurna sehingga menyebabkan pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjuan di lokasi kerja-kerja naik taraf jalan dan infrastruktur di Jalan Haruan 1, kawasan perindustrian Seremban, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri komited dalam pembangunan infrastruktur di setiap kawasan perindustrian di negeri ini bagi menarik lebih ramai pelabur melabur di Negeri Sembilan.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi kerja-kerja naik taraf pemasangan lampu LED di kawasan taman perindustrian Senawang yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu.

Manakala, tambahan lagi sebanyak RM597,700 diperuntukkan bagi kerja membaik pulih kabel bawah tanah dan sistem pencahayaan di sekitar kawasan perindustrian Oakland, Seremban dan RM600,000 lagi peruntukan kerja-kerja naik taraf jalan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.