Dua lelaki terlibat jenayah dicari

Razmi (kiri) bersama Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah IPK Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Faizal Ahmad Tajudin menunjukkan gambar dua individu dicari.
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mendedahkan wajah dua lelaki termasuk seorang anggota polis dikehendaki yang disyaki terbabit bagi kes amang seksual kanak-kanak dan pembolosan anggota polis pada Febuari dan April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, lelaki pertama dikenali sebagai Mohd Firdaus Wong Abdullah, 44, dari Jalan Bandar, di sini, dikehendaki berhubung kes merogol dan meliwat dua beradik, masing-masing berusia tujuh dan lima tahun, dalam kejadian di Kampung Gelong Bilal, di sini, antara 2018 hingga 6 Febuari lalu.

"Kejadian menimpa dua kanak-kanak ini hanya diketahui ibu mereka, 33, kira-kira jam 6 petang, pada 16 Febuari lalu selepas dua beradik itu menceritakan kejadian tersebut semasa mereka berada di rumah kedai di Jalan Sultan Omar, di sini.

"Berdasarkan soal siasat, anak perempuannya berusia tujuh tahun memberitahu dirogol dan diliwat oleh suspek yang amat dikenali, lima tahun lepas sejak 2018 dan kejadian terakhir pada 6 Febuari lalu.

"Manakala anak lelakinya berusia lima tahun memaklumkan suspek meliwatnya antara jam 8.30 hingga 10 malam, pada 6 Febuari lalu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Jelas Razmi lagi, suspek sebelum ini sudah ditangkap iaitu pada 16 Febuari lalu dan diberi jamin polis, bagaimanapun dia gagal dikesan sehingga sekarang.

"Suspek berdepan empat pertuduhan yang mana dua pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(6) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Selain itu Razmi berkata, seorang lagi lelaki yang juga anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) unit 6 di Wakaf Tapai, Marang, dicari kerana tidak hadir bertugas melebihi tempoh ditetapkan iaitu 21 hari bermula pada 29 Oktober tahun lepas sehingga hari ini.

"Siasatan mendapati anggota dikenali Mohamad Riduwan Mohd Salleh, 27, dari Kulim, Kedah memiliki rekod lampau iaitu kesalahan bersekedudukan dan tidak hadir tugas, namun kesemua kes tersebut sudah selesai.

"Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 86 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum penjara tidak melebihi setahun, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Razmi berkata, polis memohon kerjasama orang ramai yang mengenali kedua-dua individu tersebut dapat menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Salwa Asyikin Senin di talian 01140041039 (Kuala Terengganu) dan Inspektor Nurul Hidayah Ismail di talian 014-5137970 (Marang) atau mana-mana balai polis berhampiran.