Wirdati dilantik Pesuruhjaya Sukan baharu

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Timbalannya Steven Sim Chee Keong bergambar bersama warga kerja Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada sambutan Ulang Tahun Pertama Pentadbiran Kerajaan Baharu peringkat KBS 2019 dan Perhimpunan Bulanan KBS hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Timbalannya Steven Sim Chee Keong bergambar bersama warga kerja Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada sambutan Ulang Tahun Pertama Pentadbiran Kerajaan Baharu peringkat KBS 2019 dan Perhimpunan Bulanan KBS hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

PENSYARAH kanan pusat sukan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Wirdati Mohd Radzi hari ini dipilih sebagai Pesuruhjaya Sukan yang baharu, umum Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini.

Pensyarah kanan Pusat Sukan dan Sains Eksesais UM itu menggantikan Datuk Zaiton Othman yang bersara pada Mac lepas, selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2015.

Syed Saddiq berkata Wirdati dipilih mengisi jawatan tersebut berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang undang-undang sukan selain bergiat aktif dalam beberapa badan sukan.

“Kita sudah muktamadkan calon dan saya dah tandatangan surat. Sekarang kita tunggu pelepasan dari UM dan pengumuman rasmi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Beliau memang ada latar belakang sukan yang sangat kuat, bukan sahaja dalam persatuan sukan, tetapi juga dalam undang-undang sukan.

“Harapan saya, Dr Wirdati akan bawa pembaharuan, reformasi untuk Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan meneruskan legasi begitu baik yang ditinggalkan oleh Datuk Zaition. Zaiton dikenali sebagai wanita besi PPS, kami berharap Dr Wirdati akan membawa penekanan dan semangat yang sama untuk pembaharuan yang kita mahukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan baharu peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Menara KBS di sini, hari ini.

Syed Saddiq turut berterima kasih kepada pasukan pemilihan diketuai Ketua Setiausaha KBS, Dr Waitchalla R R V Suppiah yang membantu dalam menyenarai pendek, temu duga dan memilih calon sesuai.

Sebagai rekod, Wirdati merupakan Pengerusi Badan Rayuan Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), serta bekas bendahari (2014-2016) dan juruaudit (2016-2018) Persatuan Pengurusan Sukan Asia.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mempunyai kepakaran dalam Dasar Pendidikan, Pengurusan dan Pentadbiran (Undang-undang Pendidikan, Dasar Pendidikan, Tadbir Dalam Pendidikan, Pengurusan Sukan dalam Pendidikan); Pengurusan dan Pentadbiran Sukan (Pengurusan Sukan, Dasar Sukan, Penyelidikan Perbandingan dalam Sukan); dan Tadbir Urus (Undang-undang Sukan dan Tadbir Urus, Pengurusan Risiko dalam Sukan).

Sementara itu, ditanya mengenai isu pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada Sabtu lalu yang ditangguhkan, Syed Saddiq berkata beliau menyerahkannya kepada PPS untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Saya rasa pendirian saya dalam hal ini, biar PPS buat keputusan, saya rasa ada sesi rundingan akan datang. Cuma saya harap ia diselesaikan dengan cepat, kita pun nak pastikan persediaan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dapat dilakukan secepat mungkin. Saya selalu tekankan dalam bab ini, kita ikut peraturan undang-undang, itu yang penting,” katanya.- Bernama