Trump benarkan Huawei beli produk daripada pembekal AS

Trump. - Foto Wired.com
A
A

OSAKA - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata, beliau akan membenarkan Huawei Technologies Co. untuk membeli produk daripada pembekal AS dalam konsesi kepada China selepas rundingan dengan rakan sejawatnya, Presiden Xi Jinping hari ini.

"Syarikat AS boleh menjual peralatan mereka kepada Huawei. Kita bercakap tentang peralatan yang tidak mendatangkan ancaman keselamatan yang besar," kata Trump ketika sidang akhbar susulan sidang kemuncak G20 di Osaka, Jepun.

Jabatan Perdagangan bulan lalu menyenaraihitamkan Huawei dan memutuskan hubungannya dengan pembekal AS namun banyak syarikat melonggarkan sekatan terbabit.

Trump dan Jinping mengadakan pertemuan tertutup susulan sidang kemuncak G20 dan bersetuju menangguhkan perang perdagangan antara kedua-dua negara.

Menurut Trump, kedua-dua mereka turut membincangkan isu Huawei dalam pertemuan terbabit.

Terdahulu, AS melancarkan kempen global menyekat Huawei daripada terlibat dalam rangkaian telekomunikasi 5G dan melabel syarikat itu sebagai ancaman keselamatan.

Pentadbiran Trump turut mendakwa kerajaan China menggunakan produk Huawei untuk melakukan pengintipan di negara yang menggunakannya.

Huawei bagaimanapun menafikan ia menjalankan pengintipan bagi pihak Beijing. - Bloomberg