Orang asli Bateq ajak Bossku ke Kuala Koh

Sebahagian orang asli yang turut berswafoto bersama Najib ketika bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Raya di Bangunan UMNO Kelantan.
Sebahagian orang asli yang turut berswafoto bersama Najib ketika bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Raya di Bangunan UMNO Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Orang asli di Kuala Koh, Gua Musang yang terlibat dengan kes kematian 15 suku Bateq, bulan lalu mengajak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ataupun Bossku untuk melawat kampung mereka.

Pelawaan tersebut dibuat Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang mengambil peluang semasa bertemu dengan Najib sempena Majlis Aidilfitri UMNO Kelantan di Pejabat UMNO negeri di sini hari ini.

Raina bersama sembilan penduduk yang lain ditemani ADUN Paloh, Amran Arifin turut dijemput untuk bersama-sama memeriahkan majlis tersebut bersama kepimpinan UMNO empat peringkat.

Raina yang berbaju Melayu merah jambu tersebut berkata, dia turut menceritakan keadaan yang dihadapi penduduk Kuala Koh sejak bulan Mei lalu lagi dan mengharapkan Ahli Parlimen Pekan itu juga dapat membantu.

“Kita ajak Bossku datang tengok keadaan kita. Dia (Najib) bagi respons yang baik dan memberitahu dia akan berusaha untuk datang nanti.

“Beliau juga ada memberikan kami nasihat supaya kaum kami masing-masing kena kuat dan bersatu padu untuk menghadapi kes yang berlaku ini,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian mendedahkan mengenai kematian 15 orang asli di Kuala Koh yang mana dua daripadanya disahkan menghidap radang paru-paru dan selebihnya disebabkan demam campak.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin dan juga beberapa ADUN dari Pas yang lain.

Artikel Berkaitan: