Kanak-kanak parah digigit anjing

Kanak-kanak berusia 11 tahun cedera parah di muka selepas diserang anjing ketika bermain di rumah jirannya. - Foto ihsan pembaca
Kanak-kanak berusia 11 tahun cedera parah di muka selepas diserang anjing ketika bermain di rumah jirannya. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

MERSING - Seorang murid Tahun Lima cedera parah di bahagian muka dan beberapa bahagian badan selepas digigit anjing ketika sedang bermain di rumah jirannya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam di Taman Makmur, Endau.

"Kanak-kanak perempuan berbangsa Cina berumur 11 tahun diserang dan digigit oleh seekor anjing peliharaan milik jiran ketika bermain-main di rumah jirannya.

"Kejadian dipercayai berlaku setelah rantai tali pengikat anjing telah tercabut. Anjing tersebut yang merupakan anjing baka campuran telah bertindak menggigit bahagian muka dan beberapa bahagian badan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan beberapa bahagian badan telah dibawa ke Hospital Rompin untuk rawatan.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke hospital pakar untuk rawatan lanjut oleh keluarganya.

"Siasatan awal mendapati pemilik anjing tidak mempunyai sebarang permit atau lesen untuk memiliki anjing tersebut.

"Pihak veterinar juga sedang menyiasat dan memantau sama ada anjing tersebut mempunyai sebarang penyakit berjangkit.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan," katanya.