Mas Anizan masih pantau pergerakan anak

Pelakon, Mas Anizan
Pelakon, Mas Anizan
A
A
A

KEMUNCULAN semula pelakon jelita era awal 90-an, Datin Mas Anizan selepas sekian lama menyepi hampir dua dekad dari lapangan seni industri hiburan tempatan amat dinantikan.

Mendalami hasrat yang bersarang dalam hati Mas Anizan Mohamed Shahid, 46, katanya, selain rindu untuk berlakon, faktor anak-anak sudah dewasa juga mempengaruhinya untuk kembali.

Begitupun, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu tidak mahu terlalu ghairah berlakon sehingga mengabaikan keluarga.

“Selepas berkahwin saya jadi seorang suri rumah sepenuh masa kerana mahu menumpukan kepada anak-anak.

“Saya bertanggungjawab memastikan mereka membesar menjadi anak yang soleh dan solehah. Jadi, saya kena pastikan mereka dapat pendidikan yang terbaik.

“Bukannya bermakna bila mereka sudah besar dan ada kerjaya saya akan lepaskan mereka terus. Saya masih pantau dan mereka juga perlu terlebih dahulu mendapatkan keizinan daripada saya sebelum pergi ke mana-mana, bukan bebas begitu sahaja,” ujarnya.

Mas Anizan juga terlebih dahulu meminta izin daripada suami sebelum berlakon dalam drama bersiri Sara Sajeeda.

“Alhamdulillah suami seorang yang memahami kerinduan saya terhadap dunia lakonan dan dia izinkan.

“Selepas dapat lampu hijau, saya bersetuju atas permintaan penerbit Zeel Production Sdn Bhd, Haji Fadzil Teh untuk berlakon di bawah produksinya,” katanya.

Untuk rekod, Mas Anizan sebelum ini pernah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan pada tahun 1993 namun suaminya meninggal dunia pada tahun 2008.

Artikel Berkaitan:


Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua anak Mas Aliza, 24, dan Mohd Masli Danial, 19. Beberapa tahun selepas itu, Mas Anizan bertemu jodoh dengan suami baharu yang enggan didedahkan.

Hasil perkahwinan kedua ini Mas Anizan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ariana Marrisa, 5.

Seperti pelakon wanita lain yang berhijab, Mas Anizan juga menitikberatkan soal babak bersentuhan. Mas Anizan mengakui jika dia berasakan babak bersentuhan melampaui batas, dia akan maklumkan kepada pengarah.

“Sebenarnya bab ini agak sensitif tetapi alhamdulillah saya dengan pengarah tiada masalah.

“Kami masing-masing bertolak-ansur. Kalau saya tak nak buat babak bersentuhan itu saya akan cakap. Tapi tak ada isu pun nak diperbesarkan,” katanya jujur kepada Sinar Harian.


Mas Anizan di set penggambaran meneliti semula cara lakonannya.
Mas Anizan di set penggambaran meneliti semula cara lakonannya.



Berkongsi mengenai pembabitan semula, Mas Anizan mengakui dia sedikit berdebar kerana sudah lama tidak beraksi di hadapan kamera.

“Sungguh saya memang berdebar sebab dah lama tak berlakon. Dalam kepala saya berfikir adakah saya mampu buat lagi? Penerimaan masyarakat juga begitu saya terfikir sama. Tetapi saya positif dan cuba. Kelemahan yang ada saya tambah baik.

“Begitupun, syukur kerana saya mendapat sokongan daripada rakan sekeliling dan orang industri,” katanya teruja.