Pemuda UMNO saran kerajaan pertimbang caj kesesakan

Wan Agyl
Wan Agyl
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO mempersoalkan kewajaran kerajaan yang bakal mengenakan caj kesesakan kepada pengguna lebuhraya susulan pengambilalihan konsesi lebuh raya.

Pengarah Strategik Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hassan bimbang warga Kuala Lumpur tidak bersedia dengan konsep caj kesesakan yang bakal dilaksanakan jika pengambilalihan konsesi ini berjaya.

Katanya, banyak faktor perlu dipertimbangkan dari konteks sistem pengangkutan awam Kuala Lumpur.

"Dari aspek pengangkutan awam, jika pengambilalihan semua lebuhraya diteruskan maka akan ada kesan kepada penggunaan pengangkutan awam kerana mereka yang bekerja sudah pasti akan melakukan perjalanan pada waktu puncak sahaja. Ini bermakna mereka perlu membayar caj kesesakan.

"Keadaan ini pasti akan mewujudkan 'perubahan kelakuan perjalanan' daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada penggunaan pengangkutan awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Agyl, pengguna pengangkutan awam bakal berhadapan perjalanan yang memenatkan dan akan memberi kesan kepada produktiviti mereka.

"Konsep caj kesesakan ini perlulah melalui proses tersusun selain mengambil kira keperluan memastikan sistem pengangkutan awam berada di tahap memuaskan bagi memberikan pilihan kepada pengguna kenderaan persendirian untuk berhijrah menggunakan pengangkutan awam.

"Selain itu, saya juga menyarankan kementerian berkaitan mengambil tanggungjawab memastikan konsep caj kesesakan ini dilaksanakan dengan betul dan tidak secara semberono," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan telah mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint Expressway), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Menurut Guan Eng, tawaran pengambilalihan tersebut berjumlah RM6.2 bilion dan dibuat kepada Gamuda Bhd selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan.