Seorang lagi orang asli sah positif campak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lagi pesakit orang asli yang sedang menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang, disahkan positif demam campak atau measles.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, ini menjadikan 11 jumlah keseluruhan orang asli yang positif wabak itu di negeri ini setakat ini.

"Pesakit lelaki itu berusia 40 tahun dan telah melawat rakannya yang sakit di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan semasa Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak 12 Jun, Hospital Hulu Terengganu telah menerima kemasukan 14 pesakit orang asli yang berkaitan demam campak yang mana 11 pesakit positif demam campak, dua disahkan negatif manakala seorang lagi pesakit masih menunggu keputusan makmal.

Dr Mohd berkata, setakat ini 11 pesakit telah dibenarkan pulang manakala tiga lagi iaitu dua orang positif demam campak dan seorang lagi menunggu keputusan makmal, masih dirawat di hospital.

"Ketika ini, hanya tiga pesakit orang asli masih dirawat di hospital tersebut dan kesemua mereka dilaporkan stabil," katanya.

Terengganu mempunyai empat perkampungan orang asli di tiga daerah iaitu dua di Hulu Terengganu manakala yang lainnya di Besut dan Kemaman. - Bernama

Artikel Berkaitan: