Suami maut, isteri cedera kemalangan

Keadaan kemalangan melibatkan dua kereta, malam tadi.
A
A

TAPAH - Seorang lelaki maut sementara isterinya cedera dan patah tangan selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di KM66 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran Taman Sri Mas, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.37 malam itu, Chee Kok Choon, 47, memandu kereta jenis Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian mangsa dan isteri berusia 46 tahun dalam perjalanan menuju ke arah Kuala Lumpur.

"Siasatan awal mendapati, kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Persona dinaiki tiga lelaki.

"Hanya pemandu berusia 26 tahun mengalami cedera ringan sementara dua lagi penumpang terselamat," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat dan kenderaan terlibat telah dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.