Pelancong Arab lemas di Pantai Tengah

No Image Caption
A
A
A

LANGKAWI - Percutian sebuah keluarga dari Arab Saudi berakhir tragedi apabila seorang bapa lemas manakala dua anak lelakinya diselamatkan anggota penyelamat ketika mandi di Pantai Tengah di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang, mangsa Husain Musaad Alawfi, 51, bersama dua anak yang tinggal di sebuah hotel berhampiran pantai itu sedang mandi di luar kawasan yang ditetapkan ketika keadaan ombak besar dan laut bergelora.

Pegawai Bencana, Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang berhubung tiga lelaki dihanyutkan ombak ke tengah laut.

Menurutnya, sepasukan 10 anggota dari Menara Pantai Cenang, Menara Pantai Tengah dan Menara Pulau Payar digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Anggota penyelamat yang sedang membuat rondaan berjaya menyelamatkan dua anak mangsa yang dikenali sebagai Abdul Rahman, 13, dan Yasir Hussain Aloufi, 21, pada jam 3.22 petang.

"Bagaimanapun, Husain Musaad ditemukan kira-kira 30 meter lokasi penemuan anaknya pada jam 6 petang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Azamshah berkata, ketika kejadian, tanda amaran bendera merah sudah dinaikkan berikutan keadaan ombak besar dan laut bergelora namun tiga sekeluarga itu tetap mandi di luar kawasan ditetapkan di pantai tersebut.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: