Empat garis panduan kerjasama Pas-UMNO ditetapkan

Tuan Ibrahim Tuan Man - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Tuan Ibrahim Tuan Man - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUANTAN - Majlis Syura Ulamak menetapkan empat perkara yang perlu dipatuhi dalam garis panduan kerjasama antara Pas dan UMNO.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antaranya ialah segala polisi dan dasar kerjasama kedua-dua parti hanya boleh diputuskan Jawatankuasa Induk setelah mendapat persetujuan Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulamak.

"Negeri, kawasan dan cawangan tidak boleh membuat keputusan. Ini melibatkan soal agihan kerusi, calon dan perkara berbangkit pada masa akan datang.

"Selain itu Pas di peringkat negeri, cawangan dan kawasan dibenarkan membuat program bersama UMNO demi pengukuhan kesatuan ummah. Asalkan program ini tidak melibatkan keputusan polisi," katanya dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan Pas ke-65 di sini hari ini.

Menurutnya, garis panduan itu juga menetapkan kerjasama hendaklah dijalin dengan menghormati dasar parti masing-masing.

"Pemimpin tak dibenarkan terlibat dalam program dalaman parti lain. Contohnya seperti menjadi perasmi mesyuarat agung UMNO walaupun dijemput.

"Kita juga tak membenarkan ahli Pas menjadi petugas khas parti lain demi mengelakkan salah faham dan spekulasi. Bagi kita, urusan dalaman setiap parti adalah hak parti tersebut," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, garis panduan terakhir ialah pimpinan dan ahli Pas dibenarkan menjadi tetamu jemputan dalam program anjuran UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Dibenarkan untuk membuat pengisian sama ada sebagai penceramah, ahli panel atau pentazkirah kepada parti rakan kerjasama kita bila mana diminta.

"Inilah ruang dakwah yang boleh diambil untuk perkasakan agenda Islam," katanya.

Menurutnya, dalam isu kerjasama ini Pas tidak berdepan masalah kerana dipandu oleh keputusan Majlis Syura Ulamak.

"Apa-apa saja dasar parti akan dipandu oleh Majlis Syura Ulamak supaya keputusan tak bercanggah dengan syarak," katanya.