Tiga lagi kes sesak nafas di Kuala Koh: Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad beramah mesra bersama orang ramai pada sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Darah Negara hari ini.- FOTO BERNAMA
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad beramah mesra bersama orang ramai pada sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Darah Negara hari ini.- FOTO BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga kes baharu melibatkan gejala saluran pernafasan dilaporkan berlaku dalam kalangan masyarakat orang asli Bateq di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua daripada mangsa berkenaan iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita dewasa berusia 24 tahun, dikesan mengalami gejala itu pada Khamis lalu dan kini dirawat di Wad Isolasi Hospital Kuala Krai, Kelantan.

“Satu lagi kes dikesan semalam melibatkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, dirawat di Wad Isolasi Hospital Gua Musang.

“Ketiga-tiga pesakit berada dalam keadaan stabil. Ini menjadikan kumulatif kes sejak 3 Jun hingga 21 Jun 2019 sebanyak 116 kes dengan gejala saluran pernafasan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penghargaan dan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Kebangsaan di Pusat Darah Negara di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin.

Dr Dzulkefly juga mengesahkan setakat ini kematian akibat penyakit demam campak (measles) dalam kalangan komuniti berkenaan juga kekal tiga kes.

"Kementerian setakat ini belum mendapat keputusan ujian makmal terhadap sampel 12 mayat yang ditemukan di Kampung Kuala Koh bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini katanya, kementerian menjalankan pemeriksaan antropologi ke atas mayat tersebut bagi menentukan jantina, umur, bangsa, ketinggian dan jangka masa kematian.

Mengulas penularan penyakit itu dalam kalangan komuniti orang asli di Kampung Gerdong di Hulu Terengganu dan Kampung Ulu Sat di Jerantut, Dr Dzulkefly berkata, hanya terdapat satu kes baharu dilaporkan di Kampong Gerdong, menjadikan jumlah kes setakat ini sebanyak 13 kes, dengan lapan kes disahkan demam campak.

“Tiada kes baharu dikesan dari Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang menjadikan bilangan kes sehingga 20 Jun sebanyak lapan kes, dengan empat kes disahkan ‘measles’ melalui ujian makmal,” katanya yang turut mengesahkan kesemua kes dari dua kampung berkenaan mempunyai sejarah pergerakan atau kontak dengan komuniti dari Kuala Koh, Gua Musang.

Menurutnya, sehingga kini tiada penularan jangkitan demam campak melibatkan perkampungan lain dilaporkan dan pemantauan diteruskan oleh semua Jabatan Kesihatan negeri.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan dua kes baharu dikesan melibatkan kejadian sesak nafas yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah agama di Pasir Gudang, Johor semalam menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang mendapatkan rawatan akibat gejala itu seramai 31 orang iaitu 21 perempuan dan 10 lelaki.

"Kedua-dua mangsa ialah pelajar lelaki Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang dan dimasukkan ke wad Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru bagi menjalani rawatan.

“Bagaimanapun enam daripada mereka yang dimasukkan ke hospital sama pada 20 Jun pun keluar semalam, nampaknya kes ini tidak begitu serius,” katanya.

Pada Khamis, seramai 15 murid sekolah agama itu yang lokasinya terletak kira-kira 7km dari Sungai Kim Kim yang dicemari toksik Mac lalu, mengalami gejala sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital dipercayai akibat pencemaran udara. - Bernama