Pemuda UMNO dakwa PH kehabisan modal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah kehabisan modal untuk menutup krisis yang berlaku terhadap parti komponennya sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terpaksa menyenaraikan 41 responden yang didakwa menerima wang 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Exconya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, gerak-geri kerajaan PH telah dijangka dan menganggap jalan ceritanya tidak ubah seperti drama Melayu bersiri.

“Permainan politik PH hanyalah semudah formula campur tolak matematik di mana rakyat boleh menjangka segala kesudahan cerita mereka, tak ubah seperti drama Melayu bersiri.

“Hari ini (semalam) Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya sudah mula dilihat bekerja menyerang 1MDB. Senarai 41 syarikat dan individu yang dikeluarkan SPRM hari ini kebanyakannya ialah yang berkaitan dengan UMNO termasuk UMNO di peringkat negeri dan bahagian.

“Kerajaan PH dilihat sudah kehabisan modal apabila kembali bermain isu 1MDB yang sudah tidak laku di mata rakyat. Masing-masing sudah kepanasan melihat kerjasama UMNO dan Pas dalam muktamar minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Nik Saiful berkata, SPRM sepatutnya memberi tumpuan kepada kes-kes rasuah yang lain memandangkan selepas setahun membekukan akaun-akaun berkaitan UMNO, namun masih belum menemui sebarang kesalahan.

“Jika mereka merasakan isu 1MDB ini masih boleh diulang tayang bagi menutup krisis dalaman antara parti-parti komponen PH, mereka silap.

“Saya nak ingatkan mereka dengan perumpamaan Melayu, bangkai gajah takkan mungkin boleh ditutup dengan nyiru. Walau tak kelihatan bangkai, baunya pasti ada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mendakwa pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM hanya untuk menjadikan agensi itu sebagai alat politik PH.

“Banyak lagi kes rasuah lain untuk disiasat, mengapa parti politik lawan juga yang menjadi sasaran. Bagaimana dengan kes terowong dasar laut dan rasuah dalam pemilihan PKR baru-baru ini yang beliau sendiri dedahkan?," soalnya.

Beliau berkata, dengan tindakan tersebut, jelas membuktikan bahawa Latheefa tidak akan menjadi bebas dari PKR dan PH dengan meletakkan jawatan parti.

“Satu persatu badan penguatkuasa kerajaan dijadikan alat politik untuk menguburkan UMNO dan akhirnya prinsip Rule of Law mereka yang terkubur.

“Mungkin selepas ini mereka mahu gunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) periksa cermin gelap UMNO? Ataupun mungkin gunakan Kementerian Kesihatan pula untuk periksa nyamuk belakang rumah orang UMNO,” tegasnya.