Kerjasama Pas-UMNO dijangka dikupas dalam Muktamar Pas 2019

Datuk Takiyuddin Hassan - Foto Bernama
Datuk Takiyuddin Hassan - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerjasama antara Pas dan UMNO dijangka terus menjadi topik utama yang akan dikupas oleh perwakilan yang menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-65 yang akan berlangsung di sini pada 21 hingga 23 Jun ini.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata perbincangan ke arah kerjasama kedua-dua parti itu selari percaturan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

"Saya tidak merasakan akan timbul persoalan atau bantahan daripada perwakilan berhubung perpaduan Pas-UMNO kerana perihal untuk bekerjasama sudah dinyatakan sebagai pendirian parti dan pendirian Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Ini bukan kali pertama anggota perwakilan berpeluang membincangkan isu berkenaan kerana topik sama telah menjadi antara agenda utama sejak Muktamar Tahunan Pas ke-64 di Terengganu tahun lepas, selepas kedua-dua parti secara terbuka menyokong satu sama lain bermula dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia.

Menurut Takiyuddin seramai 1,200 perwakilan akan mengambil bahagian pada persidangan kali ini yang akan diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di Bandar Indera Mahkota, di sini.

Majlis perasmian persidangan itu akan disempurnakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Takiyuddin beberapa 'nama besar' UMNO juga dijangka menghadiri perasmian muktamar antaranya Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

"Selain itu, kita juga menjangkakan kehadiran pemimpin UMNO lain termasuk daripada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata isu kerjasama Pas-Umno juga dijangka menjadi tumpuan pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas ke-60 yang akan membuka tirai persidangan di Bukit Gambang Resort City di sini, esok.

Selain itu, menurut Takiyuddin, turut akan berlangsung ialah Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Pusat ke-58 yang akan diadakan di Wisma Belia Bandar Indera Mahkota pada 20 Jun ini.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain mengakui walaupun kerjasama Pas-UMNO tidak mustahil untuk direalisasikan, namun ia bukan kerja mudah khususnya untuk memastikan ia mampu berterusan sehingga ke pilihan raya umum akan datang.

Pembahagian kerusi antara kedua-dua parti dijangka menjadi cabaran utama mengambil kira kesediaan dan keikhlasan parti berkenaan untuk mengorbankan kerusi, khususnya yang membabitkan kerusi tradisi, katanya.

"Menyerahkan kerusi bukan perkara mudah, baik kepada mana-mana sahaja parti politik. Mengambil kira contoh PAS, adakah mereka sanggup mengurangkan jumlah calon yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Terengganu?

Ahmad Atory yang juga bekas profesor Sains Politik di Universiti Sains Malaysia (USM) berpandangan, isu penyatuan Pas-UMNO juga masih belum benar-benar padu dalam kalangan akar umbi, walaupun isu itu sering dimainkan oleh pemimpin parti tersebut.

Beliau menambah terlalu awal untuk mengatakan kerjasama Pas-UMNO boleh menjamin kemenangan pada PRU-15 dengan hanya mengambil kira kemenangan parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Cameron Highlands dan Semenyih.

"Ini kerana Kerusi DUN Rantau dan Parlimen Cameron Highlands memang milik BN manakala pada PRK DUN Semenyih, kemenangan BN bukanlah dengan majoriti yang terlalu selesa kerana hanya lebih 1,000 undi," katanya. - Bernama