Tiga penumpang parah, MPV dinaiki dihempap lori

Keadaan MPV berkenaan yang dihempap lori.
Keadaan MPV berkenaan yang dihempap lori.
A
A
A

BATU PAHAT - Enam penumpang berdepan detik cemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 116, Jalan Johor Bahru-Seremban, kira-kira jam 8.10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang datang dari arah Chaah ke Yong Peng cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya sewaktu kejadian.

“Bagaimanapun, pemandu lori yang berumur 42 tahun itu gagal mengawal lorinya sebelum memasuki lorong bertentangan dan melanggar tiang lampu di sebelah kanan jalan sebelum terbalik menghempap kereta dinaiki mangsa.

“Pemandu dan dua penumpang kereta tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki kanan sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu lori tersebut turut mengalami kecederaan di bahagian tangan dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Yong Peng dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Sharfini Nasar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.32 pagi sebelum dua jentera dan satu ambulans EMRS turut dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Dua balai bomba terlibat dalam operasi ini iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis serta BBP Yong Peng dengan tujuh anggota dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.53 pagi tadi.

“Kami dimaklumkan ada enam mangsa di dalam kereta dan tiga telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Klinik Kesihatan Yong Peng sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya.

Artikel Berkaitan: