Nasri meninggal akibat demam campak: MB

Ahmad ketika ditemui selepas persidangan DUN Kelantan di sini.
Ahmad ketika ditemui selepas persidangan DUN Kelantan di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kematian orang asli Bateq, Nasri Rosli, 3, ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam dipercayai akibat demam campak.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kanak-kanak yang meninggal dunia jam 6.45 petang semalam itu bukan akibat pneumonia dan tiada kaitan dengan pencemaran kerja-kerja perlombongan dan air.

“Mengikut maklumat yang saya terima, kematiannya berpunca daripada demam campak. Apa pun, saya ucapkan takziah kepada keluarganya,” katanya ketika ditemui di luar dewan selepas Persidangan DUN Kelantan di sini hari ini.

Menurutnya, namun semua pihak masih perlu melihat beberapa perkara penting melibatkan kebajikan kaum tersebut termasuklah cara penjagaan kesihatan, pemakanan, kebersihan dan bagaimana untuk meningkatkan keupayaan hidup.

“Semua pihak mesti memikirkan bagaimana cara untuk ubah mereka menjadi lebih baik dari pelbagai segi iaitu pendidikan, cara mereka berfikir dan cara penempatan hidup. Banyak perkara perlu dibantu.

“Buat masa ini isu Kuala Koh semakin reda. Semua pihak ambil tindakan untuk pulihkan keadaan dan kembalikan mereka ke tempat asal. Mengenai punca penyakit, kita tunggu dan berdoalah,” katanya.

Ahmad berkata, semua jabatan dan agensi yang berkaitan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) dan pihak bertanggungjawab perlu ambil peranan masing-masing untuk selesaikan isu itu.

Artikel Berkaitan: