Orang asli bimbang wabak merebak

Masyarakat orang asli Sungai Berua masih meneruskan aktiviti harian seperti biasa semalam.
A
A

KOMUNITI orang asli Sungai Berua di sini berharap mereka tidak mengalami nasib yang sama dengan tragedi berlaku di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan susulan seorang penduduk di perkampungan berkenaan dimasukkan ke hospital Jumaat lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Berua, Alias Pelong berkata, kehidupan seharian penduduk suku Semaq Beri setakat ini masih berjalan seperti biasa meskipun bimbang tentang keselamatan diri mereka.

“Penduduk di sini ada kira-kira 600 orang dan sejak tiga minggu lalu, ada komuniti orang asli Kuala Koh yang ada saudara-mara di Sungai Berua datang menumpang di sini. “Bagi komuniti di Sungai Berua di sini, kami sebelum ini memang akan pergi terus klinik atau hospital jika rasa tidak sihat, demam dan sebagainya. Lagipun Hospital Hulu Terengganu tidaklah jauh dari kampung ini.

“Sejak kejadian berlaku di Kuala Koh dan ditambah pula dengan kehadiran mereka ke sini, masyarakat orang asli di perkampungan Sungai Berua ini ambil inisiatif awal dengan melakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jelas Alias, tindakan prihatin penduduk Sungai Berua itu adalah kerana tidak mahu mengalami nasib sama seperti orang asli Bateq di Kuala Koh yang maut akibat penyakit misteri.

Penduduk orang asli Sungai Berua bimbang tragedi di Kuala Koh akan berulang di kampung mereka.
Penduduk orang asli Sungai Berua bimbang tragedi di Kuala Koh akan berulang di kampung mereka.

Tidak lari ke hutan

Menyentuh mengenai kehidupan orang asli Semaq Beri di Sungai Berua kini, Alias berkata, masih tiada penduduk yang lari ke hutan kerana bimbangkan keselamatan diri masing-masing. “Kehidupan seharian kami berjalan seperti biasa walaupun telah ada seorang penduduk masuk ke hospital.

"Memang kami bimbang tetapi tidak lari masuk hutan, tidak sihat kami terus pergi hospital.

“Di sini, kita tidak lari lagi tetapi memandangkan keadaan kerja harian begitulah, macam cari bahan-bahan dalam hutan.

"Masuk hutan sampai seminggu, kemudian balik, ada juga yang berulang alik setiap hari, tidak berkhemah atau bermalam dalam hutan.

Masyarakat orang asli Sungai Berua mempunyai kesedaran tinggi mengenai aspek kesihatan.
Masyarakat orang asli Sungai Berua mempunyai kesedaran tinggi mengenai aspek kesihatan.

“Anak-anak juga ke sekolah seperti biasa. Kalau tidak pergi biasanya sebab berada di hutan bersama ibu bapa cari hasil hutan sebagai sumber rezeki,” ujarnya.

Katanya, meskipun tiada ahli keluarga di Kampung Kuala Koh memandangkan dia berasal dari Pahang dan menetap di Sungai Berua sejak1994, namun tragedi menyayat hati yang berlaku di Kelantan itu terkesan di hatinya.

“Biarpun orang Bateq bukan daripada suku kaum sama tetapi kejadian di Kampung Kuala Koh amat menyedihkan.

“Bukan sahaja terkesan bagi kami masyarakat orang asli tetapi saya percaya semua orang yang ikuti perkembangan kes ini turut prihatin,” ujarnya.