JDT sifatkan mereka kurang bernasib baik

Abu Bakar pada sidang media selepas perlawanan.
Abu Bakar pada sidang media selepas perlawanan.
A
A
A

[DIKEMASKINI] PASUKAN Johor Darul Ta'zim (JDT) menyifatkan mereka kurang bernasib baik selepas sekadar seri 1-1 menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Pengurus Pasukan, Luciano Figuera berkata, pemainnya sudah bermain sebaik mungkin namun empat tendangan anak buahnya itu terkena tiang serta palang gol pasukan lawan.

"Kami kurang bertuah kali ini kerana empat kali cubaan tiada jaringan serta satu sepakan percuma yang kami terima juga tersasar gagal memasuki gawang lawan.

"Tapi kami masih lagi di kedudukan pertama serta membawa pulang satu mata dan kadang-kadang dalam perlawanan seperti ini ia berlaku iaitu kurang bernasib baik walaupun pemain bermain sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut, di sini, malam tadi.

Menurut Figuera lagi, secara keseluruhannya dia berpuas hati dengan gaya permainan yang dipamerkan anak buahnya itu walaupun mereka terpaksa bermain dengan 10 pemain pada separuh masa kedua.

Pada perlawanan tersebut, Diogo Luis Santos berjaya menjaringkan gol pertama menerusi sepakan kencang menewaskan penjaga gol PKNP FC, Khairul Thaqif Shah, pada minit keempat.

Luciano Figuera pada sidang media selepas perlawanan.
Luciano Figuera pada sidang media selepas perlawanan.

Bagaimanapun PKNP FC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-14 melalui pemain importnya Ramon Da Silva Costa yang mendapat hantaran tandukan rakan sepasukan Giancarlo Lopes Rodrigues.

Artikel Berkaitan:

Aksi bertambah panas apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-54 selepas Mohamad Hafiz Ramdan menjatuhkan S Kunanlan dalam kotak penalti namun sepakan Gonzalo Gabriel Cabrera Giordano tersasar.

Aksi pada perlawanan tersebut turut dicemari dengan insiden layangan kad merah apabila pemain JDT, Mohd Afiq Fazail diarah keluar padang selepas mengasari Pedro Victor Calil Sandoval pada minit ke-76.

Sementara itu, jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata, beliau berbangga dengan pencapaian anak buahnya yang berjaya mengikat pendahulu liga sehingga ke tiupan wisel penamat biarpun sekadar meraih satu mata.

"Permainan malam ini membuktikan pemain saya tidak gentar walaupun bertemu JDT yang mempunyai kelas tersendiri malah mereka memberi tekanan selain mempamerkan aksi yang terbaik.

"Saya berharap pasukan saya dapat menyambung momentum ini apabila bertemu Pahang dalam perlawanan berikutnya kerana mereka banyak mengasak ke gawang JDT selain mengekang kemaraan skuad berkenaan dari menambah jaringan pada perlawanan malam ini," katanya.