GRO lari sembunyi bawah kaunter

Antara warga asing yang ditahan di tapak perkuburan Cina di Bukit Mertajam semalam.
A
A

SEBERANG JAYA - Seramai 17 wanita warga Thailand dan seorang warga Laos yang berkhidmat sebagai gadis pelayan pelanggan atau GRO bertempiaran lari malah ada yang cuba bersembunyi di bawah kaunter bagi mengelak diperiksa penguat kuasa.

Itu antara gelagat yang dapat dilihat selepas sebuah premis hiburan di Jalan Keruing, Kawasan Perniagaan Simpang Ampat di sini diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang malam tadi.

Dalam serbuan yang dilakukan jam 10 malam itu, kumpulan GRO berkenaan sedang leka berhibur bersama pasangan masing-masing dan terkejut sebaik melihat kelibat penguat kuasa yang masuk ke dalam premis berkenaan sebelum mereka bertindak cuba melarikan diri.

Bagaimanapun usaha mereka ternyata tidak berhasil apabila premis hiburan berkenaan terlebih dahulu dikepung oleh pasukan serbuan.

Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, serbuan dibuat hasil risikan pihaknya sejak beberapa minggu mengenai aktiviti tidak bermoral yang dilakukan oleh kumpulan wanita warga asing berkenaan.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan berjaya menahan 17 wanita warga Thailand serta seorang warga Laos yang berkhidmat sebagai GRO selain seorang lelaki warga Thailand yang bekerja di pusat hiburan terbabit.

"Semakan yang dibuat mendapati kesemua mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial dan akan disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya ketika dihubungi di sini.

GRO yang ditahan didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka.
GRO yang ditahan didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka.

Terdahulu, dalam Ops Bersepadu yang dijalankan bermula jam 10 pagi itu, pihaknya turut menyerbu sebuah restoran masakan siam di Bandar Putra Bertam Kepala Batas dan menahan empat pekerja lelaki serta seorang perempuan warga Thailand yang didapati tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.

Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan di beberapa buah rumah yang dijadikan tempat tinggal kumpulan warga asing di sekitar Tanjong Tokong dan Tasek Gelugor hasilnya membawa kepada penahanan 18 orang pendatang asing tanpa izin atas pelbagai kesalahan.

"Serbuan turut dibuat di sebuah tanah perkuburan Cina di Bukit Mertajam dan berjaya menahan seorang perempuan dan enam lelaki warga Bangladesh dan masing-masing seorang lelaki warga Myanmar dan Pakistan yang bekerja di kawasan perkuburan berkenaan.

"Kesemua yang ditahan berusia di antara 21 hingga 49 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Pulau Pinang untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru untuk tindakan lanjut," katanya.