Issey sedia dihujani soalan kahwin

Pelawak dan pelakon, Issey
Pelawak dan pelakon, Issey
A
A
A

PULANG ke desa untuk bertemu keluarga tercinta dan meluangkan masa bersama sanak-saudara di hari raya merupakan peluang keemasan yang dinanti-nantikan oleh pelawak dan penyampai radio Suria, Issey Fazlisham setelah berbulan sibuk dengan jadual kerja.

Dalam keseronokan berkumpul, kata Issey, topik atau soalan mengenai perkahwinan semestinya akan menjadi pilihan utama yang akan ditanya. Bergelar duda selama hampir tiga tahun, anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang itu berkata, pada tahun ini dia sekali lagi sudah bersedia untuk dihujani dengan soalan sama.

“Soalan panas itu yang saya seram sejuk dibuatnya. Memang saya tak dapat lari daripada pertanyaan bila nak kahwin dan sama ada sudah ada calon isteri ke belum? Tambahan pula, puasa hari itu ada keluar artikel tentang saya tahun depan nak kahwin.

“Jadi sekali lagi raya tahun ini saya memang sudah bersedia andai ada lagi soalan-soalan fasal kahwin ini. “Cuma apabila saya diajukan soalan berkenaan, saya pun dah menjadi kebiasaan menjawab dengan secara tak serius namun mereka tak ambil hati sebab saya kan pelawak,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Issey turut mengakui melihat rakan artis lain sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata membuatkan dirinya mahu berkahwin pada 2020.

Menurut Issey, 32, perkara tersebut sekali gus membuatkan dia muhasabah diri untuk menamatkan zaman duda.

“Bila tengok kawan-kawan rapat seperti Ammar dan Fizi Ali semuanya sudah berkeluarga dan ada anak, saya terasa jugalah. “Oleh sebab itu, saya rasa sudah tiba masanya untuk melihat masa depan dengan melakukan sesuatu dalam hidup saya,” luahnya. Issey sudah bersedia untuk kembali menggalas gelaran seorang suami sekali gus merealisasikan impian untuk menyambut Aidilfitri dengan kehadiran seorang suri hati.

Pun begitu, Issey masih belum mempunyai calon isteri cuma akuinya sedang berkawan dengan seorang wanita yang memiliki ciri-ciri idaman.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Issey pernah berkahwin dengan Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid pada 19 Mac 2015, namun bercerai pada 21 Ogos 2016.

Program Syawal TV3, JKK RAYA
Program Syawal TV3, JKK RAYA

Issey yang ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Suria di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor akhir Ramadan lalu berkata, dia akan menyambut Aidilfitri di Kampung Gucil, Kota Bharu, Kelantan sehingga hari raya kelima kemudian akan pulang ke kota untuk kembali bertugas.

Sebagai selebriti, Issey beruntung kerana mendapat banyak tajaan baju Melayu. Pun begitu, Issey tetap menempah sendiri baju Melayu di kedai jahit kerana lebih selesa.

“Tahun ini saya seronok sebab ada kesempatan waktu pergi beli kain raya untuk dibuat baju Melayu Johor.

“Sedikit kelainan pemilihan tahun ini, baju Melayu jenis teluk belanga sebab nak menampakkan leher saya yang dah semakin berisi. Jadi bila pakai nampak leher saya jinjang. Kalau pakai cekak musang dalam keadaan badan berisi ini saya terasa kurang selesa.

“Tapi tak banyak pun saya tempah, hanya dua helai. Kalau baju tajaan ada juga beberapa helai. Cuma saya ini sebenarnya lebih suka kalau pakai nampak terletak dan betul-betul ikut potongan badan,” katanya.

Berkongsi mengenai kegemaran juadah raya, kata Issey, dia sangat menyukai ketupat palat dan nasi dagang Kelantan.

“Setiap kali raya sahaja yang wajib ada ialah tiga jenis ketupat palas berintikan serunding iaitu ada yang tawar, manis dan sambal daging serta nasi dagang Kelantan,” kongsi Issey.