Kemerdekaan Palestin jalan perdamaian di Timur Tengah

Raja Abdullah (kanan) ketika bertemu Kushner di Amman kelmarin.
Raja Abdullah (kanan) ketika bertemu Kushner di Amman kelmarin.
A
A
A

AMMAN - Pemerintah Jordan, Raja Abdullah II memberitahu Jared Kushner yang merupakan penasihat kanan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa perdamaian berpanjangan di Timur Tengah hanya boleh dicapai dengan penubuhan negara Palestin.

Istana di Amman dalam satu kenyataan memaklumkan Raja Jordan telah menyuarakan kebimbangan tentang rancangan rahsia AS yang digelar deal of the century yang kononnya bertujuan untuk menamatkan konflik antara Israel-Palestin.

“Raja Abdullah menekankan tentang keperluan untuk perdamaian yang komprehensif berdasarkan penyelesaian dua negara yang membawa kepada kemerdekaan dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka,” jelas kenyataan itu lagi.

Selain itu, Jordan turut menggesa Israel supaya berundur dari Tebing Barat yang dirampas pada Perang Enam Hari kira-kira 52 tahun lalu.

Jordan bimbang pelan damai tersebut boleh menjejaskan penyelesaian dua negara yang menjadi formula antarabangsa dan AS sejak beberapa dekad lalu.

Difahamkan, Kushner kini sedang mengetuai delegasi AS ke Timur Tengah untuk meraih sokongan bengkel ekonomi di Manama, Bahrain pada akhir bulan ini di mana menantu Trump terbabit dijangka mendedahkan bahagian pertama pelan damai Israel-Palestin.

Palestin yang memboikot pentadbiran Trump sejak ia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu negara’ Israel pada 2017 telah menolak pelan damai terbabit kerana mendakwa ia sebagai pendekatan berat sebelah. - Agensi

Artikel Berkaitan: