Ancaman pengganas: Polis pertingkat tahap keselamatan menjelang Aidilfitri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan tahap kawalan keselamatan negara semasa perayaan Aidilfitri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini khususnya daripada ancaman pengganas.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Beliau berkata usaha berterusan daripada Cawangan Khas Bukit Aman akan digandakan dari masa ke masa.

“Kita lihat sekeliling rantau ini seperti letupan bom yang terjadi di Bangladesh yang dilakukan oleh Daesh makanya kami pertingkatkan pemantauan negara bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya pada sidang akhbar ketika diminta mengulas mengenai tahap keselamatan negara menjelang Aidilfitri ini selepas membuat tinjauan di tapak Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, di sini, hari ini.

Abdul Hamid mengucapkan syukur dan terima kasih kerana pihaknya berjaya mengesan dan mengekang kegiatan pengganas Daesh ini lebih awal daripada menular ke negara ini.

“Saya mengharapkan anak buah saya yang bertugas pada Aidilfitri ini agar terus berwaspada dengan keadaan sekeliling serta pelbagai ancaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ancaman pengganas yang mencederakan tiga anggota polis dalam letupan di ibu kota Bangladesh pada malam Ahad lepas.

Kejadian berlaku di kawasan Malibagh di tengah Dhaka. - Bernama

Artikel Berkaitan: