Sila log masuk terlebih dahulu.

PU Syed buat laporan polis terhadap Jufazli

PU Syed (tengah) selepas membuat laporan polis ke atas Jufazli di IPD Ipoh, pagi tadi.
PU Syed (tengah) selepas membuat laporan polis ke atas Jufazli di IPD Ipoh, pagi tadi.
A
A
A
IPOH - Juara Pencetus Ummah musim ketiga, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali PU Syed membuat laporan polis terhadap aktivis muda, Jufazli Shi Ahmad berhubung kenyataan berunsur fitnah dan provokasi yang dilakukan di laman sosial Facebook sejak November lalu.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 10 pagi itu antara lain mendesak siasatan lanjut dibuat ke atas Jufazli mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Syed Mohd Bakri berkata, pada 27 November lalu, individu berkenaan membuat kenyataan di ruangan komen Facebook atas nama Jufazli Shi Ahmad menggelarkan Umno dan Pas sebagai rasis berkait insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Menurutnya, kenyataan itu ada kaitan dengan status yang dimuat naik pada 23 November menerusi akaun sama, apabila menuduh Melayu Umno dan Pas sebagai ekstrem serta mahu melakukan pertumpahan darah dengan agama lain di atas jalan raya.

"Tuduhan itu jelas menunjukkan individu berkenaan mempunyai niat mahu membangkitkan kemarahan serta cuba menyebarkan perasaan permusuhan dalam kalangan masyarakat Melayu dan India di negara ini.

"Kenyataan menganiaya, mengugut dan mengganggu ketenteraman awam ini boleh menimbulkan suasana tidak harmoni," katanya.

Beliau berkata, laporan polis dibuat bagi menuntut siasatan dilakukan agar pelakuan sama tidak terus berulang.

Katanya, terdapat banyak kenyataan dimuat naik akaun Facebook berkenaan berunsur fitnah.

"Dalam posting semalam, kenyataan di Facebook berkenaan memfitnah secara langsung Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dengan pelbagai hinaan yang keji.
Artikel Berkaitan:


"Gelaran seperti ulama munafik dan lebai perompak ini turut digunakan dalam kenyataan pada hari-hari sebelumnya," katanya.

Laporan polis sama turut dibuat, hari ini di Batu Gajah, Cyberjaya, Kuala Terengganu dan Balai Polis Jelapang.