Polis, JPJ pantau pemandu bas ekspres

Kamarulzaman (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas ketika pemeriksaan bas ekspres sempena Op Selamat 15/2019 di Terminal Bas Kuantan di sini malam tadi.
Kamarulzaman (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas ketika pemeriksaan bas ekspres sempena Op Selamat 15/2019 di Terminal Bas Kuantan di sini malam tadi.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 45 buah bas ekspres telah diperiksa dalam sebuah pemeriksaan mengejut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang di Terminal Bas Kuantan di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Kamarulzaman Jusoh berkata, pihaknya bersyukur kerana tiada kesalahan yang direkodkan ketika operasi dilaksanakan yang bermula pada jam 8 malam sehingga jam 12 tengah malam.

Menurutnya, pemeriksaan rambang juga dilakukan ke atas 22 pemandu bas ekspres di terminal berkenaan termasuk ujian saringan air kencing namun kesemuanya didapati negatif pengaruh dadah.

“Operasi ini dijalankan sempena Hari Raya Aidilfitri untuk memastikan pengusaha dan pemandu bas ekspres di negeri ini sentiasa mematuhi peraturan dan memastikan keselamatan penumpang selamat sampai ke destinasi.

“Langkah ini juga bagi kita mengawasi pemandu bas daripada salah laku lain seperti yang utama penyalahgunaan dadah semasa memandu kerana kita dapati masih ada pemandu bas khususnya pemandu tambahan yang mengambil dadah kononya dapat menghilangkan mengantuk.

“Selain mengambil tindakan saman jika melakukan kesalahan, kita (polis) akan ke arah menasihati dan memberi kempen keselamatan jalan raya bagi memastikan pemandu dan penumpang sedar pentingnya keselamatan pemanduan khususnya di musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika pemeriksaan bas ekspres sempena Op Selamat 15/2019 di Terminal Bas Kuantan.

Kamarulzaman berkata, pemeriksaan itu juga akan diteruskan sepanjang Op Selamat yang bermula semalam sehingga 12 Jun depan yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) Pahang dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kita baharu sahaja melaksanakan operasi ini pada hari ini (semalam) namun kita telah mendapat satu kes bas ekspres yang telah melakukan kesalahan di Raub. Kita mengharapkan agar tiada kesalahan yang dilakukan oleh pemandu bas sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, pihaknya menjangkakan Pahang akan mengalami kesesakan lalu lintas disebabkan kira-kira 1 juta pengguna akan melalui laluan negeri ini dan mengharapkan pemandu lebih berhati-hati ketika memandu.

Menurutnya, terdapat lapan kawasan panas di negeri ini yang kerap berlaku kemalangan dan pihaknya dengan kerjasama JPJ akan sentiasa memantau dan membuat rondaan di kawasan panas.

“Antara kawasan panas yang sering jadi kemalangan adalah di Bentong, Raub, Lipis dan Rompin serta Kuantan sendiri yang turut mengalami kesesakan ketika Hari Raya Aidilfitri.

"Seramai 400 anggota polis trafik akan bertugas bagi Op Selamat tahun ini.

“Pandulah secara berhemah...periksa kenderaan di samping pastikan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan dan dapatkan rehat yang secukupnya agar tidak mengantuk, kalau terlampau penat, rehat sejenak sebelum sambung memandu kembali," katanya.