Korek tiga sungai elak banjir kilat

Mohammad Rafie dan Anthony Loke bersama penerima sumbangan semalam.
Mohammad Rafie dan Anthony Loke bersama penerima sumbangan semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan melaksanakan projek mendalamkan tiga sungai dalam DUN Ampangan bagi mengelakkan banjir kilat.

ADUN Ampangan, Dr Mohamad Rafie Abd Malek berkata, langkah proaktif perlu dilakukan segera bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.

Katanya, beliau telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri membuat kajian mengenai ketiga-tiga sungai tersebut sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.

“Sungai Batang Penar, Sungai Paroi dan Sungai Linggi merupakan salah satu penyebab berlakunya banjir kilat di lima kampung baru-baru ini.

“Kita dapati keadaan sungai yang cetek serta tidak dapat menampung air apabila hujan lebat yang berlarutan menjadi punca berlakunya banjir kilat.

“Oleh sebab itulah, kita akan berusaha melakukan projek mendalamkan ketiga-tiga sungai itu bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan dan Sumbangan Raya kepada mangsa banjir di Balai Raya Ampangan semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, seramai 56 keluarga yang terjejas akibat kejadian banjir kilat pada 22 Mei lalu diberi sumbangan sebanyak RM500 selain sumbangan keperluan harian.

Mengulas lanjut katanya, jika projek mendalamkan sungai ini dilakukan kampung yang sering dilanda banjir iaitu Kampung Dusun Nyiur, Kampung Blok A, Blok B, Blok C Ampangan dan Kampung Ismail akan dapat diselamatkan.

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Kamarudin Ahmad,64, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM3,000 akibat banjir kilat yang berlaku lalu.

Katanya, akibat daripada itu semua barangan elektrik rumahnya termasuk katil, tilam, perabot dan almari rosak seluruhnya.

“Saya bersyukur dengan sumbangan tersebut dapatlah saya gunakan untuk membeli keperluan untuk raya nanti,” katanya.