Adabi terus dekati golongan memerlukan

Acara memasak bubur lambuk sempena program Hajat Ramadan Adabi 2019 berlangsung meriah di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.
Acara memasak bubur lambuk sempena program Hajat Ramadan Adabi 2019 berlangsung meriah di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pengeluar produk-produk makanan, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) meneruskan program Hajat Ramadan Adabi 2019 selaras dengan usaha untuk mendekati kumpulan sasaran terutamanya golongan yang memerlukan.

Eksekutif Promosi dan Media Korporatnya, Abdul Hafiz Abdul Aziz berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) khusus pada bulan Ramadan itu telah bermula sejak lebih 10 tahun.

Katanya, antara aktiviti yang dijalankan adalah memasak bubur lambuk, majlis buka puasa bersama anak yatim dan asnaf serta program sahur tidak sahur bersama pelajar universiti untuk memberi makanan kepada gelandangan sekitar Kuala Lumpur.

“Program CSR ini kita adakan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), pasar raya besar, badan beruniform dan pihak media.

“Sebagaimana hari ini kita adakan bersama Kumpulan Media Karangkraf untuk memasak bubur lambuk secara bergotong-royong,” katanya ketika ditemui pada program memasak bubur lambuk di pekarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini hari ini.

Katanya lagi, sepanjang Ramadan kali ini sebanyak 23 program telah dilaksanakan di seluruh negara.

Sementara itu, Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas dan Komunikasi Korporat Karangkraf, Hashim Anang berkata, sebanyak lima periuk besar bubur lambuk yang dimasak secara bergotong-royong itu akan diagihkan kepada kakitangan syarikat berkenaan.

“Daripada lima periuk itu, satu periuk kita akan berikan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 untuk diagihkan kepada anggota memandangkan mereka turut serta dalam program hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita harap program yang telah memasuki edisi kelima yang diadakan bersama Adabi ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.