Empat jari budak 11 tahun hancur terkena mercun

Muhammad Syukran menunjukkan empat jarinya yang terkena mercun.
Muhammad Syukran menunjukkan empat jarinya yang terkena mercun.
A
A
A

MACHANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera parah pada tangan kanan apabila sebahagian empat jarinya hancur akibat terkena mercun di Kampung Pauh, Temangan di sini.

Kejadian berlaku pada 12 Mei lalu kira-kira jam 4.40 petang apabila mangsa, Tuan Muhammad Syukran Tuan Mohd Sakri, 11, bersama adiknya, Tuan Muhammad Alifuddin, 9, membakar mercun bola milik bapa mereka.

Ibu mangsa, Miss Suhaima Abdul Rashid, 49, berkata, selain empat jari, Tuan Muhammad Syukran turut cedera di mata dan mendapat rawatan di Hospital Kuala Krai selama seminggu.

Menurutnya, semasa kejadian, Tuan Muhammad Syukran dikatakan memegang mercun manakala Tuan Muhammad Alifuddin menyalakan sumbu mercun.

“Mercun tu dah lama disimpan di rumah sebab ayah mereka guna untuk halau haiwan liar di kebun masa menoreh getah. Saya sendiri tak sangka mereka jumpa dan cuba nyalakannya.

“Mungkin mercun tu dah rosak sebab lama sangat disimpan sebab ia terus meletup lepas dibaling," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Miss Suhaima berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menguruskan haiwan ternakan di kawasan berdekatan dan bergegas pulang sebaik dimaklumkan cucunya.

Katanya, semasa sampai di rumah, tangan Tuan Muhammad Syukran sudah berbalut dan dia menganggap ia luka biasa.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, sebaik balutan dibuka, dia hampir pitam apabila melihat beberapa jari anak keenamnya itu hancur sebelum memaklumkan kepada suami.

“Dia langsung tak menangis. Dia cuci dan balut sendiri tangan guna kain sarung ayahnya.

“Tuan Muhammad Syukran makin sihat dan dah mula cuba menulis guna tangan kiri supaya tak kekok ke sekolah nanti. Sebahagian kecil setiap empat jari yang hancur tu terpaksa dipotong, jadi dia mungkin susah nak tulis guna tangan kanan macam biasa," katanya.