'Tak apa, jangan risau. Koi bayo'

Paparan Facebook Rabi'atul Adawiah Ghani.
Paparan Facebook Rabi'atul Adawiah Ghani.
A
A
A

BUDI baik Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar masih tersimpan dalam lipatan sejarah buat keluarga Rabi'atul Adawiah Ghani.

Masih meratapi hiba pemergian Almarhum pada Rabu lalu, Rabi'atul mengimbau detik duka buat keluarganya.

Pada November 2003, keluarganya terlibat dalam kemalangan jalan raya hingga mengorbankan dua nyawa di Gambang, Kuatan dan pertolongan Almarhum tanpa diduga waktu itu ibarat cahaya di sebalik kegelapan.

Memetik status Facebook Rabi'atul, ketika kejadian dia sedang melanjutkan pengajian di Matrikulasi Negeri Sembilan (MKNS).

"Aku ingat lagi, masa itu aku berada di MKNS. Tengah lepak bilik rakan aku, tiba-tiba rakan sebilik aku panggil beritahu telefon aku tak berhenti berbunyi, 'call SMS' masuk macam nak apa.

"Bila aku naik ke bilik, aku baca ramai ucap takziah, mula-mula dapat tahu kakak (Marsitah) meninggal dunia. Kemalangan berlaku di Gambang. Tapi aku tak tahu lagi berita ini dari ibu ayah aku.

"Bila aku 'call' ibu, ibu cuma cakap kejap lagi makcik aku akan datang ambil untuk bawa balik. Dalam perjalanan ke Maran, aku dapat tahu, seorang lagi adik aku (Norhafizah) turut terkorban.

"Seorang lagi adik aku (NurAsyikin) pula ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. Dia cedera parah di kepala," coretnya.

Artikel Berkaitan:

Ibarat jatuh di timpa tangga, setiba NurAsyikin di HTAA, dimaklumkan Unit Rawatan Rapi (ICU) telah penuh.

"ALLAH punya kuasa, masa adik mula-mula sampai di HTAA, bilik ICU penuh.

"Bekalan tangki oksigen habis kerana ada lagi kemalangan lain pagi itu yang melibatkan enam keluarga.

"Kebetulan masa itu, Almarhum Sultan Ahmad Shah berada di situ, tengah melawat enam keluarga yang terlibat kemalangan itu.

"Almarhum dapat tahu pasal adik, Baginda panggil Pengarah Hospital 'or person in charge' masa itu.

"Baginda arahkan adik dipindahkan ke hospital swasta yang paling bagus di Kuantan iaitu Kuantan Specialist Hospital (KPJ), Alor Akar.

"Baginda Almarhum sempat beritahu kepada ayah, “Tak apa, jangan risau. Koi bayo," katanya.

Bukan hanya menampung kos rawatan NurAsyikin, Almarhum juga dikatakan sempat menghulurkan duit belanja kepada keluarga itu sebanyak RM1,000.

Tidak terhenti begitu sahaja, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad berkenan meminta Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ketika itu Tengku Mahkota Pahang menziarah keluarganya di rumah.

"Sekali lagi ada sikit bantuan yang Baginda hulurkan pada kami. Sebenarnya bukan nilai duit yang aku nak cerita sekarang.

"Tapi nilai budi pekerti Raja (Baginda Almarhum) yang sentiasa dekat di hati rakyat. Raja yang pedulikan rakyatnya.

"ALLAH ambil kesayangan kami di bulan yang mulia. ALLAH hantarkan Baginda Almarhum kepada kami dan buka jalan untuk selamatkan adik. Kini, ALLAH muliakan Almarhum Sultan pula," luahnya.

Sementara itu, difahamkan, adik bongsunya kini berusia 21 tahun dan melanjutkan pengajian di Pondok Tahfiz Al-Quran Darul Hikmah, Kampung Senggora, Maran.

Posting Rabi'atul kini tular di media sosial dan meraih hampir 8,000 tanda suka dan 2,000 perkongsian dari netizen.

Rata-rata netizen turut berduka di atas pemergian Almarhum yang disifatkan Raja berjiwa rakyat dan tiada galang ganti.