Lelaki OKU hilangkan diri lagi

Mohd Shahrel ketika ditemui ibu dan sepupunga menginap di sebuah hotel, Isnin lalu. (Gambar kecil: Sebilah parang ditemui bersama Mohd Shahrel, Isnin lalu.)
Mohd Shahrel ketika ditemui ibu dan sepupunga menginap di sebuah hotel, Isnin lalu. (Gambar kecil: Sebilah parang ditemui bersama Mohd Shahrel, Isnin lalu.)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lelaki kurang upaya (OKU) yang ditemui di sebuah hotel, Isnin lalu sekali lagi melarikan diri dari rumah.

Tindakan itu dilakukan selang sehari selepas lelaki berkenaan ditemui oleh ibu dan sepupunya di sebuah hotel di Jalan Tok Lam, di sini.

Mohd Khairul Omar, 31, berkata, dia tidak pasti masalah yang dialami sepupunya, Mohd Shahrel Mohd Hanafiah, 34, namun, apa yang pasti tindakan itu dilakukan selepas dia memperoleh sejumlah wang.

"Saya tak pasti sama ada tindakan itu dibuat sebab dia ada masalah mental atau sebab dia ada nak balas dendam pada sesiapa.

"Sebab, masa jumpa di hotel baru-baru ni, dia ada membawa sebilah parang. Saya dah ambil parang tu dan dah simpan.

"Saya bimbang dia beli parang baharu pula," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khairul berkata, dia terpaksa menghantar ibu Mohd Shahrel, Rokiah Harun, 66 ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama seorang lagi anaknya kerana tiada siapa yang boleh menjaga wanita itu.

"Saya bekerja, jadi, bila Mohd Shahrel tiada, tak ada siapa yang menjaga dan boleh tengokkan ibu saudara saya.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, saya terpaksa hantar dia ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama seorang lagi anaknya di sana," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairul mendakwa, dia kesal kerana gagal mendapatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu ketika usaha menjejaki sepupunya itu di sebuah hotel, Isnin lalu.

"Bila dapat panggilan kata dia ada kat hotel, kami segera ke balai polis nak minta bantuan polis 'escort' sebab bimbang juga kalau dia bertindak di luar kawalan.

"Lagipun waktu tu dah tengah malam dekat jam 1 pagi. Malangnya pihak polis minta kami selesaikan sendiri hal itu dengan pujuk dia balik ke rumah. Mungkin sebab tiada unsur jenayah.

"Waktu jumpa dia (Mohd Shahrel) dan selepas periksa barang yang ada pada dia, kami terkejut sebab jumpa sebilah parang," katanya.

Terdahulu, seorang warga emas meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai anaknya kerana telah menghilangkan diri, sehari sebelum Ramadan iaitu pada 5 Mei lalu.

Mohd Shahrel yang mengalami gangguan mental dan pernah ditempatkan di pusat rawatan mental sebelum ini ditemui Isnin lalu, selepas dua minggu dilaporkan hilang.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki OKU hilang ditemui menginap di hotel

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tak lena tidur anak OKU hilang sehari sebelum Ramadan