Seorang pelajar maut, 24 cedera nahas bas

Keadaan mangsa kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Jelebu petang tadi. Foto: Ihsan orang ramai
Keadaan mangsa kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Jelebu petang tadi. Foto: Ihsan orang ramai
A
A
A

JELEBU - [KEMASKINI] Seorang pelajar kolej vokasional Kuala Klawang maut, manakala 24 pelajar yang lain cedera apabila bas yang dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Kuala Klawang-Seremban, berhampiran Bukit Tangga, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul berkata, dalam kejadian 3.39 petang, 25 pelajar berkenaan menaiki bas awam dari Kuala Klawang menuju ke Seremban.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, bas itu dipercayai hilang kawalan sebelum berlanggar dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Xtrail.

"Bas yang membawa 25 pelajar terbalik di kaki bukit manakala SUV berkenaan terbalik di tepi jalan.

"Akibat kejadian itu seorang pelajar Kolej Vokasional maut dan selebihnya cedera dan parah," katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, 25 pelajar yang menaiki bas itu adalah dari Kolej Vokasional dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang.

Tambahnya, bomba menerima panggilan jam 3.41 petang dan meminta 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Jelebu, Seremban dan Senawang ke lokasi bersama dua jentera dan enam ambulans.

Katanya, sebaik tiba jam 4.01 petang, anggota mengeluarkan semua mangsa tersepit termasuk dua lelaki dalam SUV berkenaan.

Kesemua terlibat dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban bagi tindakan lanjut.

Setakat ini polis masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kejadian termasuk pemandu bas.

Artikel Berkaitan: