Pencuri bogel pecah masuk rumah

Keadaan salah sebuah bilik dan tingkap yang cuba diumpil oleh suspek selepas kejadian di sebuah rumah teres di Seksyen 20.
A
A

SHAH ALAM- Sepasang suami isteri terkejut apabila rumah mereka di Seksyen 20 di sini, dipecah masuk seorang lelaki dalam keadaan bogel pagi tadi.

Mangsa, Masrizal Misran, 34, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika isterinya sedang menyusukan anak di dalam bilik utama sambil menidurkan anak ketiganya.

"Kali pertama suspek masuk ambil telefon bimbit, buka dua laci dan terus keluar.

"Dia cuba untuk masuk lagi kali kedua dan ketiga, dia intai melalui celah pintu dan isteri saya perasan ada kesan lampu suluh atas kepala, masa tu saya ada di bilik ketiga tidurkan anak pertama dan kedua kami, " katanya.

Katanya, isterinya yang pada mulanya menyangkakan itu adalah dirinya, terus keluar dari bilik untuk menyapanya.

"Bagaimanapun ketika keluar dari bilik, isteri saya ternampak susuk tubuh tinggi, berkulit gelap tanpa berpakaian sedang berada di dapur. Dia kemudiannya terus menjerit kuat.

"Terkejut dengan jeritan isteri, saya mula terjaga dan terus mendekatinya. Saya berusaha mengejar individu terbabit, namun dia berjaya melarikan diri," katanya.

Menurutnya, kejadian tersebut mengakibatkan beberapa barangan berharga hilang.

"Beberapa barangan berharga seperti telefon bimbit, syiling emas dan wang tunai hilang, anggaran kerugian kami sekitar RM2,000.

"Selain itu keadaan bilik juga didapati berselerak, saya percaya ada unsur pukau sebab lampu dapur dan lampu bilik belakang memang saya buka, tapi pencuri ini berani untuk masuk," katanya.

Katanya, ekoran kejadian itu dia membuat laporan polis di Balai Polis Sri Muda di sini.

"Isteri masih terkejut dan mengalami trauma akibat kejadian, namun Alhamdulillah, dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kejadian ini merupakan kali pertama yang kami alami, sebelum ini kasut di bahagian luar saja yang hilang, tak pernah pencuri masuk dalam rumah," katanya.